Thursday, November 27, 2008

RETAK Menunggu Belah Part 2

PAS Selangor semakin berani menongkah arus untuk menunjukkan kepada Khalid Ibrahim serta pimpinan PKR dan DAP bahawa mereka sudah mahu kembali kepada asal “back to basic”, meletakkan prioriti kepada perjuangan negara Islam.

Beberapa hari yang lepas, Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hassan Ali telah mengambil tindakan drastik dengan mengenepikan “kuda tunggangan” Anwar [ahli ahli Erdogan] yang memegang jawatan dalam PAS Selangor apabila melucutkan jawatan Ir Hj Khalid Samad dan Hj Sa’ari Sungip.

ARAK DI SGOR; ANWAR & KHALID TAK KISAH....
Semalam kecoh pula kisah PAS Selangor mahu kerajaan tempatan bertindak tegas terhadap penjualan alkohol serta minum keras yang kini sangat mudah didapati dan berleluasa dimana mengakibatkan masalah sosial dikalangan remaja melayu dan islam. Diantara tempat yang dikenal pasti amat mudah untuk mendapatkan minuman keras tanpa sebarang kawalan adalah di 7 Eleven.

Laporan berita menyebut bahawa ada wakil wakil PAS yang cuba membawa usul ini untuk diluluskan dalam mesyuarat ahli majlis tetapi tidak mendapat perhatian serta layanan daripada korum mesyuarat.

Manakala dalam mesyuarat Exco kerajaan negeri pun cuba dibincang perkara ini tetapi ternyata hasrat Dr Hassan Ali tidak kesampaian apabila MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan negeri tidak akan mengharamkan penjualan alkohol dan minum keras di 7-Eleven, pasaraya dan kedai kopi.

Anwar Ibrahim selaku Ketua Umum PKR juga turut sama mengeluarkan kenyataan yang sama. Tambah mengelirukan keadaan apabila Khalid Ibrahim menyangkal kenyataan awal tengahari semalam bahawa MBSA sudah boleh bertindak memperketatkan pengeluaran lesen penjualan minuman keras. Khalid berdalih mengatakan itu hanyalah cadangan dan belum mendapat kelulusan.

Jelas terbukti Anwar dan Khalid lebih tawaduk ke arah “menjaga hati semua kaum”. Ekoran dari isu ini, wakil rakyat DAP, iaitu Ahli Parlimen PJ Utara, Tony Pua sudah mula mengungkit-ungkit faktor kemenangan di Selangor dengan mengatakan PAS kini bongkak dan tidak mengenang jasa pengundi bukan melayu yang memberikan kemenangan kepada Pakatan Rakyat.

Kenapa pula wakil rakyat bukan melayu melenting sedangkan PAS Selangor mahukan pengawalan jualan minuman keras dilaksanakan keatas rakyat melayu yang beragama islam. Langkah memperketatkan jualan alkohol adalah satu daripada cara untuk memastikan gejala sosial anak anak melayu dapat dibendung.

Apakah yang membuatkan keputusan ini gagal dipersetujui? Kalau dihitung daripada bilangannya, Exco yang beragama islam masih lebih ramai berbanding dengan yang bukan islam, walaupun terlebih sedikit sahaja..... Namun ianya masih tidak mampu untuk membantu PAS dalam mencapai keputusan ini.

Tindakan Khalid Ibrahim dan Anwar Ibrahim tidak perlu dikritik sebab mereka memang mahukan sokongan padu daripada rakyat bukan melayu untuk menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri. Biarpun perlu menggadai bangsa dan agama….

Kini tiba waktunya untuk Dr Hassan Ali memikirkan semasak masaknya apakah PAS mampu untuk memperjuangkan negara islam sekiranya masih mahu bermadu kasih dengan DAP dengan bersuamikan PKR…???? Ataupun, adakah tindakan membawa usul ini sebagai langkah menguji sejauh mana kasih sayang Khalid Ibrahim terhadap Hassan Ali berbanding dengan Theresa Kok....?

Wednesday, November 26, 2008

RETAK Menunggu Belah...?


Sewaktu persada politik tanahair kita sedang dibuai cerita bakal berlaku pertarungan diantara Iron Lady vs Juhi Chawla [Rafidah vs Shahrizat], tiba tiba muncul kisah masalah dalaman PAS Selangor……

Kini didada beberapa web dan blog terpampang cerita Pesuruhjaya PAS Selangor Dato Dr Hassan Ali membuat keputusan drastik menggugurkan Ahli Parlimen Shah Alam Ir Hj Khalid Samad dari jawatan Timbalan Pesuruhjaya II PAS Selangor dan seorang lagi ADUN Hulu Kelang, Hj Sa’ari Sungip juga hilang jawatan Ketua Penerangan PAS Selangor.

Minggu lepas dalam penulisan Blogmaster ini ada menyenaraikan tingkah laku MB Selangor, diantaranya tidak memberikan kasih sayang sama rata kepada Dr Hassan Ali berbanding Theresa Kok, kini terserlah kenyataan atau hakikat sebenar bagaimana kita melihat sendiri krisis rumahtangga pimpinan sebuah parti politik yang dahulunya berpaksikan Islam tapi sekarang bermadu dengan DAP bersuamikan PKR.

Pendedahan diblog ini juga pada posting yang lepas telah merungkai muslihat Khalid Ibrahim tidak melantik secara rasmi seorang Timbalan MB, membuatkan Hassan Ali menelan air liur melihat Theresa Kok diumumkan sebagai Exco paling kanan dan mendapat tempat duduk bersebelahan MB Selangor itu sendiri. Lebih memedihkan lagi mata Yb Yb dari parti PAS bila beberapa portfolio yang penting seperti Pelaburan, Perindustrian, Perdagangan, Kerajaan Tempatan, Perlancongan dan Pembangunan Kampong Baru digadaikan kepada Exco Exco bukan melayu.

Agak sekian lama juga terdengar desas desus bahawa Dr Hassan Ali tidak pernah mendapat kepercayaan penuh Khalid Ibrahim apabila MB itu tidak melantiknya sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam dan juga Pengerusi Lembaga Pungutan Zakat Selangor. “To add salt into the wound”, rintihan Pesuruhjaya PAS Selangor ini tidak pernah mendapat sokongan Ir Khalid Samad, kesimpulannya sebagai Timb Pesuruhjaya beliau boleh ditafsirkan gagal untuk membela bossnya. Apakah waktu itu Ahli Parlimen Shah Alam sedang dibuai angau dengan gula gula Anwar Ibrahim apabila seronok dipilih menyertai kumpulan yang melayan impian Anwar dalam Dream Team 16 September, lebih sinonim dilabelkan Geng 916…..


ADA AHLI ERDOGAN DALAM PAS SELANGOR

Fahaman Ir Khalid Samad yang pernah memberikan kenyataan bahawa perkataan Allah boleh digunakan digereja, malah lawatannya ke sebuah gereja jelas menunjukkan bahawa beliau agak liberal dan “cocok” untuk bersetubuh dengan pemikiran Anwar Ibrahim.

Sewaktu rancaknya klentong Anwar dimainkan oleh media seluruh negara mengenai peralihan kuasa kerajaan pusat menjelang 16 September, ada beberapa pimpinan PAS sudah pun dikenal pasti sebagai ahli kumpulan Erdogan.

Di Selangor sendiri, beberapa nama telah dikaitkan tersangat cenderung kepada Anwarisme setelah terpukau dengan “magic” Anwar dan mereka sudah memasang cita cita mahu menjadi Menteri, atau Timbalan Menteri dan paling tidak pun Setiausaha Parlimen dalam kabinet Ketua Umum PKR itu.

Mengikut cerita daripada dalam kain PAS, sewaktu berlangsungnya Muktamar parti itu di Ipoh pada bulan Ogos yang lalu, agak panas juga perbahasan dikalangan perwakilan yang mula mempersoalkan hubungan PAS dalam Pakatan Rakyat. Ada suara-suara sudah berani mencadangkan agar Tuan Guru Hadi sebagai calon Perdana Menteri sekiranya Pakatan Rakyat berjaya mengambil alih kerajaan pusat. Timbul juga cerita Khalid Samad dan Hatta Ramli berkelakuan pelik tidak menghormati pimpinan PAS dari golongan Ulamak….

Seterusnya dari situ dikatakan hubungan diantara Dr Hassan Ali dan Ir Khalid Samad semakin meruncing. Apatah lagi dalam isu PKNS dimana suara bantahan Pesuruhjaya PAS Selangor itui tidak mendapat sokongan Ir Khalid untuk menggegarkan Tan Sri MB Selangor. Begitulah juga tersinggungnya perasaan Hassan Ali apabila Ahli Parlimen Shah Alam itu tidak mahu menentang peruntukan RM10 juta untuk rumah ibadat bukan Islam dinegeri Selangor. Maka tidak hairanlah jika Dr Hassan Ali hilang sabar dan membuat keputusan untuk memudahkan pentadbiran politiknya.

Keputusan ini sudah tentu diilhamkan setelah sesi brain storming dikalangan pimpinan PAS dalam Retreat mereka di Langkawi baru baru ini. Adat resam politik sekiranya seseorang ketua itu tidak boleh sehaluan dengan timbalannya, maka rombakan adalah satu corrective action yang dikira perlu.

Kini Perhubungan PAS Selangor menyaksikan Ahli Parlimen Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat dilantik menggantikan tempat Khalid Samad selaku Timb Pesuruhjaya PAS II dan YDP PAS Kelana Jaya, Roslan Shahir pula menggantikan ADUN Hulu Kelang, Sa’ari Sungip sebagai Ketua Penerangan PAS Selangor.

Keputusan mendadak itu diputuskan dalam mesyuarat Dewan Harian parti itu yang diumumkan dan diluluskan dalam mesyuarat badan perhubungan PAS negeri itu pada hari yang sama.

Dr Che Rosli pernah menjadi Timbalan Pesuruhjaya PAS Perlis dan Roslan diwaktu yang sama juga adalah Setiausaha Akhbar Presiden PAS.

SA’ARI SUNGIP BUKAN AHLI ERDOGAN?

Kalau mengikut kitab politik, agak mengejutkan juga apabila Dr Hassan Ali turut menggugurkan Sa’ari Sungip sebab beliau tidaklah dilihat ketara cenderung kearah menjilat Anwar Ibrahim. Jika mahu didedahkan, ada dua orang lagi Ahli Parlimen PAS di Selangor yang memang sebati dengan label ahli Erdogan dan seorang lagi Ahli Parlimen PAS yang dahulunya mencuba nasib di Selangor tetapi kini lebih bernasib baik mendapat gelaran Yb di negeri Kelantan…..

Setelah duduk bersembang sampai ke dinihari disulami bergelas gelas teh tarik di Shah Alam, bersama beberapa sahabat sahabat PAS, barulah Blogmaster kenal pasti sebab musabab Sa’ari Sungip diketepikan oleh Hassan Ali. Rupa rupanya ada satu line of statement dikalangan pimpinan atas Dewan Harian menyokong Pesuruhjaya PAS itu bila mengatakan wujud tanggapan dalam PAS, termasuk ditimbulkan sendiri oleh Dr Hassan, bahawa parti itu tidak diberi tempat untuk bergiat dan mengadakan program dalam kawasan yang dikuasai PKR. Sebenarnya ini agak peribadi diantara Dr Hassan Ali setelah beliau jarang sekali mendapat ruang berbanding dengan Sa’ari Sungip, besar kemungkinan ini adalah mainan politik daripada Ahli Parlimen Gombak sendiri [Hulu Kelang dan Gombak Setia dibawah Parlimen Gombak].

PAS MULA HAPUSKAN FAHAMAN ERDOGAN?

Apakah dengan keputusan melucutkan jawatan Timb Pesuruhjaya dari Khalid Samad ini merupakan signal kepada Anwar Ibrahim dan Khalid Ibrahim bahawa PAS boleh memisahkan hubungan Pakatan Rakyat di Selangor?

Juga persoalannya disini, apakah dengan tindakan Dr Hassan Ali ini sebagai bermulanya satu persatu penyingkiran ahli ahli Erdogan dari senarai pimpinan PAS..? Menjadi penantian untuk kita lihat sendiri apakah nasib salah seorang pimpinan paling kanan PAS yang memang dikenali sebagai salah seorang ahli Erdogan samada jawatannya sebagai orang penting di syarikat media milik PAS akan diteruskan atau pun tidak…?

KENALI AHLI AHLI ERDOGAN [ANWARISME]





Wednesday, November 19, 2008

Disebalik Kelakuan Si Khalid....

Marahkan nyamuk, habis kelambu dibakarnya…..

Sejak dari zaman persekolahan lagi, kita sudah dididik mempelajari pelbagai peribahasa dan simpulan bahasa yang mempunyai maksud tersirat disebalik sesuatu yang tersurat.

Apakah selama ini semua tindakan dan kelakuan yang mencetuskan kemarahan kaum melayu dinegeri Selangor kita melihatkan sebagai langkah sumbang dan juga kesilapan Menteri Besarnya bernama Abdul Khalid Bin Ibrahim? Begitulah juga persoalannya apabila kita terikut-ikut dengan alunan irama Kopi Dangdut seorang Jeneral upahan Anwar Ibrahim, apakah kita dikira bijak merumuskan bahawa semua yang telah berlaku adalah dengan niat mahu menguji tahap kesabaran orang melayu khususnya dinegeri Selangor.…?

Natijahnya nanti apabila kita marahkan semua keputusan dan kelakuan si Khalid, maka akan berlakulah pelbagai bentuk bantahan yang dikemukakan, sedikit sebanyak peribahasa diatas tadi membayangkan keadaan ini…

Mari kita senaraikan disini satu per satu diantara keputusan dan tindak tanduk Khalid yang telah menjadi isu kontrovesi dan mainan media disamping mendapat reaksi negatif rakyat melayu Selangor;-


  1. Mengumumkan projek ternakan babi secara besar besaran

  2. Tidak melantik Timbalan MB walaupun pihak istana telah maklumkan bahawa calon mestilah dikalangan wakil rakyat melayu supaya mampu menjadi wakil kepada Sultan atau pun MB dalam sebarang acara hal ehwal agama islam, ada yang melihat keputusan MB sebagai menjaga hati DAP dan sanggup melihat Dr Hassan Ali berputih mata.

  3. Disebaliknya, melantik Theresa Kok sebagai Exco paling kanan dan tempat duduk Yb Kinrara itu dalam Dewan Undangan Negeri pula bersebelahan dengan MB, apakah bermakna Khalid mengiktiraf Theresa sebagai Timbalan MB?

  4. Memberikan portfolio portfolio yang penting kepada Exco Exco kerajaan Selangor bukan melayu sebagai contoh – Perlaburan, Perindustrian & Perdagangan [Theresa Kok], Kerajaan Tempatan [Ronnie Liu], Pelancongan [Elizabeth Wong], Pembangunan Kampung Baru [Ean Yong Hian Wah].

  5. Membiarkan salah seorang Exco, Dr Xavier membuat kenyataan bahawa rumah ibadat semua agama dibenarkan pembinaannya seluas 10,000 kaki per segi dalam kawasan perumahan di Selangor.

  6. Mencadangkan kuota sebanyak 10% untuk bukan bumiputera memasuki UiTM.

  7. Membiarkan beberapa Exco bukan melayu yang diketuai oleh Ronnie Liu mengambil keputusan untuk mengantung Timbalan YDP MPAJ, Abdul Hamid Hussain daripada tugas setelah beliau melaksanakan tanggungjawabnya merobohkan kuil Sri Maha Kaliamman di Ampang dimana tindakan untuk menggantung Abdul Hamid ini telah dipertikaikan sendiri oleh salah seorang Exco, Iskandar Abdul Samad yang menyatakan bahawa tidak ada sebarang mesyuarat Exco diadakan bagi mencapai keputusan tersebut [menjadi tanda tanya apakah ada kuasa Exco mencampuri soal pentadbiran PBT ataupun mereka telah melanggar bidang Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor?]

  8. Khalid Ibrahim dengan angkuh dan sombongnya membuat kenyataan bahawa pemimpin tidak perlu membuang masa menziarah rakyat yang ditimpa kecelakaan dalam tragedi ribut melanda sebuah penempatan perumahan di Klang yang didiami oleh majoriti kaum melayu, tindakannya itu telah mendapat bantahan keras daripada seorang Ahli Parlimen PKR sendiri yang mendesak Khalid memohon maaf diatas kenyataan tersebut.

  9. Mencipta sejarah dengan melantik seorang bukan melayu, Low Siew Moi sebagai pemangku Pengurus Besar PKNS yang belum pernah terjadi dalam pentadbiran anak syarikat kerajaan negeri Selangor sebelum ini.

Itulah adalah diantara kontrovesi beberapa isu panas yang dicipta oleh Khalid Ibrahim semenjak bergelar Menteri Besar Selangor. Sedar atau tidak bahawa apa yang telah dilaksanakannya itu juga boleh merupakan suatu percaturan politik, besar kemungkinan mendapat tunjuk ajar daripada Anwar Ibrahim.

Kalau dikupas daripada perkiraan sifir politik Anwar Ibrahim, parti tunggangannya itu bersama Pakatan Rakyat sudah tidak boleh lagi mengubah selera daripada kaum melayu yang tidak mepercayai perjuangan serta kekuatan gabungan Pakatan Rakyat. Dikalangan pemimpin yang mahu menjadi gurkha gurkha Anwar yakin bahawa hanya dokongan berterusan daripada kaum bukan melayu sahaja boleh menjamin mereka kekal mendapat sokongan tambahan seterusnya memungkinkan mereka merampas kerajaan pusat dalam pilihanraya akan datang.

Adalah lebih munasabah jika dikatakan tafsiran Tsunami Pilihanraya baru baru ini hanya boleh kita berikan kepada peralihan undi kaum bukan melayu. Ini terbukti dengan tersungkurnya ramai pemimpin pemimpin ternama BN seperti Koh Tsu Koon, Samy Vellu, Kaveyas dan ramai lagi Yb Yb daripada MCA dan MIC hilang gelaran tersebut pada Pilihanraya ke 12.

Kalau dikira daripada prestasi parti komponen BN, masih ramai lagi wakil rakyat daripada UMNO kekal samada di DUN atau Parlimen dan ini jelas membuktikan bahawa undi kaum melayu masih tidak beralih arah kepada Pakatan Rakyat.

Oleh yang demikian, semua tindak tanduk Khalid Ibrahim selama ini adakah mungkin sekadar mahu menguji kesabaran melayu di Selangor supaya berterusan memprotes dan dalam waktu yang sama senario ini akan menjadikan kaum bukan melayu terutamanya yang masih bersama MCA dan MIC akan melabelkan melayu dan UMNO hanya mahu memperjuangkan nasib satu kaum sahaja. Ini amatlah berbeza dengan PKR yang pada awal mukadimah oleh Anwar Ibrahim sendiri sudah memberikan jaminan akan menghapuskan Dasar Ekonomi Baru sekiranya menduduki tampuk pimpinan kerajaan pusat.

Sebagai contoh dalam isu PKNS, lihat sahajalah komen daripada beberapa pimpinan MCA yang berada dalam komponen BN….

Adakah perlu sebuah parti yang bertunjangkan melayu, UMNO khususnya untuk melatah dan mempamerkan kemarahan kepada semua tindakan Khalid Ibrahim…? Apakah disebalik sebarang reaksi negatif pimpinan UMNO dan NGO NGO melayu ini kesudahannya nanti akan terperangkap dengan muslihat politik Anwar, bermakna Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan daripada kaum bukan melayu untuk memberikan kemenangan lebih besar kepada mereka pada Pilihanraya akan datang. Lihatlah kesannya apa yang terjadi keatas undi kaum cina pada pilihanraya kecil Permatang Pauh setelah Anwar dan Khalid berjaya mainkan isu cadangan 10% - 20% kemasukan kaum bukan melayu kedalam UiTM.

Agak mustahil untuk diterima akal bahawa Khalid Ibrahim sanggup berterusan membuat keputusan demi keputusan yang mengundang kontrovesi serta api kemarahan kaum melayu di Selangor.

Semoga UMNO akan lebih berhati hati dengan sifir politik Anwar Ibrahim….., sebarang tindakan daripada Khalid Ibrahim selepas ini haruslah diperhalusi sebaik mungkin!

Monday, November 17, 2008

30 November, Pembohongan Anwar Lagi

Tinggal beberapa hari lagi akan muncul tarikh 30 November 2008.

Bagi tahun 2008, Parti Keadilan Rakyat akan mengadakan Kongres Nasional tahunan ke 5 di Stadium Melawati Shah Alam. Inilah merupakan tahun yang sulung Kongres parti yang ditunggang oleh Anwar Ibrahim diadakan setelah bala tentera beliau berjaya mencipta kejutan dalam pilihanraya ke 12 yang lalu.

Untuk kesekian kalinya PKR akan bersidang dalam situasi memiliki ramai perwakilan perwakilannya terdiri daripada ahli ahli Yang Berhormat. Daripada Dewan Rakyat sahaja sudah ada melebihi 30 Ahli Parlimen. Bilangan Yb Yb akan bertambah lagi setelah diambil kira wakil wakil rakyat dari negeri pemerintahan mereka di Selangor dan juga beberapa negeri negeri lain di bawah kerajaan Pakatan Rakyat.

Malah pada tahun ini juga buat julung julung kalinya sewaktu Kongres ini nanti, PKR sudah pasti berbangga kerana ada bersama-sama mereka seorang Menteri Besar dan seorang Timbalan Ketua Menteri. Keadaan ini nanti amatlah jauh berbeza dengan Kongres mereka tahun lepas yang telah diadakan di Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban pada 27 Mei 2007. Ketika Kongres itu berlangsung, parti berbilang kaum ini hanya ada dua pemimpin bergelar Yang Berhormat, iaitu Presiden mereka Datin Seri Dr Wan Azizah dan seorang wakil rakyat daripada Sarawak, Yb Dominic Ng.

Mengimbau kembali peristiwa Kongres pada tahun lepas, agak tergamam para perwakilan didalam dewan kerana aksi lakonan drama oleh Anwar Ibrahim yang membuat keputusan tidak mahu bertanding jawatan Presiden parti.
Ketika itu Anwar telah mendapat pencalonan paling tinggi daripada 120 bahagian berbanding dengan Dr Wan Azizah menerima 10 pencalonan dan seorang lagi calon iaitu Hj Abdul Rahman Osman, bekas Timbalan Presiden Parti Keadilan Nasional yang menerima sokongan daripada 7 bahagian utara tanah air. Ramai perwakilan kesal dengan tindakan Anwar yang menggunakan alasan khuatir tindakan Registrar of Society [ROS] keatas PKR sekiranya memilih Anwar sebagai Presiden sedangkan waktu itu beliau belum lagi “habis tempoh idah” daripada memegang sebarang jawatan rasmi sebelum April 2008. Ada dikalangan perwakilan melihat helah Anwar ini sebagai mahu menguji sokongan perwakilan untuk mencalonkannya dan ada juga beranggapan Anwar mahu memberikan signal kepada Dr Wan Azizah bahawa beliau lebih popular dan layak memegang jawatan Presiden…., bukannya Wan Azizah!


PELUANG ANWAR BERBOHONG LAGI

Sepertimana biasa, sewaktu berlangsungnya kongres PKR, tumpuan adalah pada sesi perbahasan. Pada kongres 2007, sesi ini dilihat pudar dan malap, apatah lagi ianya dengan ketiadaan Ezam Mohd Nor yang merupakan suatu ketika dahulu pendekar parti Anwar Ibrahim. Dewan Sekolah Tinggi Chung Hua Seremban telah kempunan untuk menerima kunjungan Ezam sebab keputusan anak muda pengasas Parti Keadilan Nasional itu untuk tidak lagi bersama Anwar Ibrahim.

Tahun 2008 diramalkan ramai perwakilan akan cuba mencuri perhatian, maka bersusunlah mereka untuk berpidato menunjukkan bakat masing masing. Ini dilihat sebagai batu loncatan untuk mendapat personal glory supaya lebih dikenali ramai dan memudahkan untuk menjadi calon dalam pemilihan parti akan datang dan juga calon pilihanraya ke 13. Dalam benak fikiran mereka ini, Anwar bakal jadi PM.

Diantara isu yang sudah pasti akan menggegarkan dewan kongres adalah mengecam tindakan Ezam menyertai UMNO dan kuda kuda tunggangan Anwar ini akan berkokok melabelkannya pengkhianat dan sebagainya….

Namun begitu, ada suatu perkara yang memang pasti juak juak murahan Anwar ini akan terlepas pandang, iaitu PEMBOHONGAN ANWAR!

Pentas kongres parti ini sudah pasti menanti nantikan ucaptama daripada Ketua Umum mereka, Dato Seri Anwar Ibrahim.

Inilah peluang terbaik untuk Anwar menipu semua perwakilan mengenai rancangan mengambil alih kerajaan pusat setelah 16 September terbukti suatu omongan kosong yang diada-adakan.

Berkatalah apa saja. Biarpun ianya tidak masuk akal. Tudinglah jari menyalahkan orang lain walaupun terbukti Anwar gagal melakukannya, namun yang pasti ialah tepukan gemuruh bergema daripada perwakilan perwakilan yang buta dan tuli terhadap pembohongan Anwar…..

Sama samalah kita nantikan temberang Anwar Ibrahim yang akan diungkapkan pada kongres mereka yang berakhir 30 November 2008 nanti….

Monday, November 3, 2008

Pencalonan Ketua Pemuda UMNO Makin Rancak


Pencalonan untuk UMNO menobatkan Ketua Pemuda yang baru semakin rancak dihujung garisan perlumbaan.

Sebaik sahaja dibunyikan wisel permulaan Mesyuarat Aguung Pemuda Bahagian, kita dikejutkan dengan pencalonan yang banyak diterima oleh anak lelaki mantan PM, Tun Mahathir iaitu Datuk Mukriz Mahathir. Beliau telah mendahalui pencalonan dengan baik sekali.

Manakala menantu Pak Lah, Khairy Jamaluddin pula hanya mengekori ditempat kedua walaupun masih berstatus Naib Ketua Pemuda UMNO namun ramai beranggapan bahawa keputusan Pak Lah untuk tidak bertanding telah menjejaskan pencalonan Khairy.

Ketika itu juga, pencalonan yang diterima oleh bekas MB Selangor, Dato Seri Khir Toyo yang kini menjadi Ketua Pembangkang BN dinegeri pemerintahan PKR nampak seakan akan agak sukar memberikan saingan kepada Mukriz dan Khairy.

TERKINI
Setelah berakhirnya hujung minggu semalam, kedudukan pencalonan jawatan Ketua Pemuda UMNO nampaknya semakin menarik.

Walaupun Mukriz masih mendahului pencalonan, tetapi penambahan pencalonan tidak begitu ketara.

Berbanding dengan peningkatan yang menegak oleh Khir Toyo yang telah berjaya memintas Naib Pemuda UMNO, Khairy dengan perbezaan 5 pencalonan.

Terkini, Mukriz masih mendahalui dengan 71, diikuti dengan Khir Toyo 56 dan Khairy hanya 51 pencalonan.

Blogmaster sedang menyiapkan sedikit ulasan keatas ketiga tiga calon Ketua Pemuda yang menawarkan diri untuk mengembalikan taring benteng pertahanan parti melayu yang sudah mula tidak digeruni oleh pihak Pakatan Rakyat.

Semoga ulasan itu nanti akan dapat dikongsi bersama oleh pengunjung pengunjung blog ini bagi kita meramalkan milik siapakah kerusi Ketua Pemuda UMNO nanti….