Wednesday, February 2, 2011

Post Mortem Tenang 5 - PAS Gagal Dekati Mangsa Mangsa Banjir Kilat Di Tenang...

Banjir, satu malapetaka yang melanda negara. Apabila berlaku banjir, lihatlah kerugian yang dialami oleh rakyat marhein. Cuba kita semua bayangkan jika kita adalah mangsa kepada bala bencana banjir yang berlaku di Johor dan Melaka. Cuba saudara dan saudari pembaca meletakkan diri sebagai salah seorang mangsa banjir yang rumahnya tenggelam hingga ke paras siling. Apa lagi yang tinggal selepas pulang ke rumah apabila air surut?

Barang-barang letrik seperti peti sejuk, televisyen, mesin basuh dan perkakas dapur yang berasaskan elektrik hampir pasti tidak boleh lagi digunakan. Ini termasuklah komputer desktop yang baru dibeli beberapa bulan melalui skim hutang dengan harapan, anak-anak kecil akan celik komputer apabila memasuki alam persekolahan kelak. Hutang bulanan 'Singer' pun belum habis di bayar dan masih berbaki setahun dua lagi.
Bagaimana pula dengan perabut yang tenggelam sepenuhnya? Sofa yang serba sederhana pasti rosak dek lumpur yang bergelumang. Almari baju, almari dapur, almari tv dan kebanyakkan perabut yang material kayunya tidak tahan air pasti akan mudah mereput selepas banjir ini. Baju-bajuan termasuklah baju raya tahun lepas, juga sudah terpalit lumpur. Pasti kecewa apabila mengenangkan beli baju pun terpaksa menunggu setahun sekali sempena menyambut raya.

Kerosakkan besar akan berlaku terhadap rumah yang dilanda banjir terutamanya bagi ketinggian air banjir berlumpur mencecah siling. Operasi membersihkan rumah yang mengambil masa beberapa hari, pasti mengundang kesempitan wang bilamana kerja separa masa yang diusahakan sebagai sampingan tidak dapat dijalankan. Kepada yang berjinak-jinak mengusahakan perusahaan ikan keli dan sembilang secara kanvas di belakang rumah, akan hancur lebur segalanya apabila keli dan sembilan itu bebas tanpa bicara. Hilang pula mata pencarian sampingan.

Kereta pula tidaklah semewah mana, cuma proton wira tahun 98. Tetapi air berlumpur telah menusuk ke hati enjin. Berapa ribu yang bakal habis untuk turun dan naik enjin? Berapa ribu pula yang bakal habis untuk memastikan rumah yang kita bina selama ini dengan kelengkapan serba sederhana kembali seperti sediakala? Fikir dan bayangkanlah nasib mereka - mangsa banjir tidak kira di bandar atau di desa.

Jika anda punya pengalaman tersekat dalam banjir di Tenang selama 2 hari dan mula berasa runsing dengan apa yang dilalui, sedarlah bahawa mereka yang rumahnya dilanda banjir hingga ke siling itu bagaimana agaknya perasaan mereka. Kita bersimpati, mereka merasai, tetapi mangsalah yang menderitai. Di samping meratapi nasib bangsa, tidakkah pernah kita terfikir apakah punca bahana banjir ini?
Menyalahkan hujan lebat selama beberapa hari adalah sesuatu yang tidak teorikal. Ini bukan banjir yang pertama melanda Segamat dan Labis. Tidakkah anda masih ingat lagi bagaimana Kota Tinggi tenggelam? Ketika itu juga Segamat dan Labis dilanda banjir tetapi tidak seteruk apa yang berlaku akhir minggu lepas. Banjir tahun 2006 itu diklasifikasikan sebagai banjir besar melanda negeri Johor. Jadi mengapa tidak banjir sebesar tahun 2006 ini dijadikan iktibar dan pengajaran atau sebagai amaran? Supaya ianya tidak berulang lagi di atas kerja keras kerajaan yang memperolehi mandat! Jadi di manakah rasionalnya 'pencapaian diutamakan'?

Dalam memerangi masalah banjir besar yang pernah melanda, adalah juga tidak praktikal apabila kerajaan memilih untuk membangunkan Wilayah Iskandar, bukan projek tembatan banjir di Segamat dan Labis. Apalah keuntungan besar yang ada pada projek tembatan banjir, projek pembesaran sungai dan projek sistem perparitan dan longkang, melainkan sedikit untung kepada pemenang tender. Apakah ini maksudnya rakyat didahulukan?
Wilayah Iskandar menjadi pilihan kerana ia memberi pulangan yang sangat besar kepada pembesar-pembesar negeri dan negara. Ia juga memberi ruang kepada bangsa asing seperti warga Singapura untuk menguasai ekonomi negara melalui pelaburan besar yang menyediakan peluang pekerjaan berbentuk 'perahan tenaga rakyat' tetapi keuntungan jutaan ringgit dialirkan setiap tahun kepada si pelabur.

Malang sekali orang-orang kampung di Labis dan Segamat tidak tersenarai untuk diberi keutamaan terutamanya dalam projek marhein tembatan banjir yang akhirnya boleh mengelak kerugian berjuta ringgit rakyat kebanyakkan. Hakikatnya ialah kerajaan memilih untuk menyediakan peluang keuntungan berjuta ringgit kepada cukong-cukong mereka yang menjadi proksi daripada membuka peluang bagi mengelakkan kerugian puluh ribuan rakyat akibat banjir yang sepatutnya boleh dielak atau dikawal. Kerugian ini juga mencecah jutaan ringgit jika dikompilasikan. Berjuta rakyat rugi tak mengapa, jangan mereka terlepas untuk untung berjuta.


Cuba imbas, apa yang berlaku sebelum pilihanraya Tenang? Kebanyakkan jalan diturap termasuklah jalan yang tidak pernah berlubang. Banyak projek-projek 'mee segera' yang dilakukan oleh kerajaan bagi memperolehi undi. Tetapi tidak satu pun yang dilakukan oleh kerajaan itu berkesan apabila akhirnya pada hari mengundi, dengan kekuasaan tuhan, banjir besar berlaku. Ketika itu segala jalan yang diturap tidak kelihatan melainkan keruhnya air banjir.

Negara kita ini seumpama telah dibangun secara berundur. Sebuah negara yang bercita-cita untuk menjadi negara maju telah melupakan keperluan rakyatnya yang ramai masih tinggal di pekan dan desa. Mengkoordinasikan segala pembangunan hanya di bandar utama tanpa mengendahkan kawasan pekan dan kampung yang tidak memberi manfaat keuntungan kepada si pemerintah, inilah yang berlaku.

Di kawasan bandar pula, dapat kita lihat pihak kerajaan telah melupakan kepentingan yang wajar didahulukan bagi meletakkan keselamatan bandar iaitu sistem perparitan dan longkang. Akhirnya pekan Labis dan Bandar Segamat tenggelam dek kerakusan mengejar pembangunan tanpa menyediakan infra secukupnya bagi menghadapi cuaca hujan selama beberapa hari. Bayangkan jika kerajaan telah menyediakan beberapa pusat tembatan banjir di pekan Labis dan Bandar Segamat, mungkin banjir besar boleh dielak malah kematian akibat banjir juga tidak sewenangnya berlaku.

Memang sewajarnya peristiwa banjir besar 2006 dijadikan alasan kukuh untuk pembinaan pusat tembatan banjir, tetapi ianya tidak pernah menjadi pilihan popular kepada kerajaan negeri mahupun pusat. Kepedulikkan yang rendah terhadap keperluan asas yang wajib untuk rakyat kebanyakkan menjadi lumrah kerajaan Barisan Nasional. Untuk apa buat itu dan ini untuk orang-orang Johor yang sememangnya akan memberi undi kepada Barisan Nasional sampai kiamat?

Apa yang kerajaan mahu melalui projek tembatan banjir hanyalah keuntungan dengan projek berbilion trowong SMART di Kuala Lumpur sebagai contoh, membina infra super yang sehebat SMART demi keuntungan kutipan tol. Apakah kita akan melihat sebuah lagi terowong SMART di Labis atau Segamat? Sampai kiamat pun tak mungkin.

Itulah nasib pengundi Barisan Nasional. Memberi undi untuk menguntungkan segelintir manusia yang segerombolan dengan si pemegang tampuk kuasa. Mandat setempat yang diberikan pada Mac 2008 di Segamat dan Labis tidak dibalas dengan baik apabila banjir besar berulang kembali. Namun, walau setinggi atap sekalipun banjir yang melanda, undi Tenang tetap milik Barisan Nasional. Usah bermimpi untuk memperolehi pusat tembatan banjir dalam masa terdekat. Kemungkinan tahun depan pada tarikh yang hampir sama, banjir besar akan kembali berlaku.

Bukan tujuan untuk mempersenda, malah kita bersimpati dengan apa yang berlaku. Justeru itu, kami tetap mendesak agar kerajaan Barisan Nasional dan UMNO supaya melihat Tenang sebagai pemberi mandat yang solid sekata, maka biarlah mandat itu di balas sebaiknya supaya banjir besar tidak berlaku lagi tahun hadapan. Kerugian rakyat itu, walaupun mereka menyokong UMNO, mereka tetap rakyat di mata blogger dan wajar diberi perhatian di atas kesengsaraan sebagai mangsa banjir.

Oleh demikian, saya tetap menyeru dan mendesak kepada Barisan Nasional supaya jangan hanya menjadikan projek berasaskan keuntungan wang ringgit sahaja yang menjadi keutamaan. Malah projek yang mengelak kepada kerugian rakyat juga wajar diketengahkan contohnya projek tembatan banjir di kawasan yang mudah banjir seperti di Johor. Buatlah sebelum rakyat Johor sendiri berpaling tadah, sedangkan kekuatan Pakatan Rakyat di negeri lain semakin kuat dan utuh!! Jangan nanti tiada negeri yang tinggal untuk Barisan Nasional memerintah untuk dijadikan perbandingan dengan negeri Pakatan Rakyat yang kerajaan pusat ketika itu adalah kerajaan rakyat!

Akhir kalam, begitu besarnya hikmah memilih kerajaan itu harus diambil iktibar oleh semua rakyat Malaysia agar sentiasa bijak dalam menentukan hala tuju anak bangsa. Sedarlah bahawa kemajuan itu bukan segala-galanya di kala ada yang kehilangan segalanya setelah hujan tiga hari lamanya

Luahan Hati Penjilat Tegar PAS…., klik sini

4 comments:

Anonymous said...

Projek Tembatan Banjir Segamat telah pun PM luluskan pada tahun 2009 dan 2010 lepas, tunggu je la hasilnya. Buat projek tembatan bajir bukannya mcm tambak longkang tepi rumah

anak segamat

Ular Menyusur Akar said...

Betul juga. Selalu yang baik itu sikit, yang umum itu besar. Tapi bab bodoh pandai tak kanlah 6699 orang bodoh, 2992 orang pulak yang pandai. Umumnya pandai melebihi yang bodoh.

agbr47: UMA fikir pengulas politik itu antara orang yang bodoh.

Zakir said...

Aku bersetuju dengan UMA. Takkan 6699 tu semuanya bodoh dan hanya 2992 sahaja yang pandai. Dan mengikut fatwa TGNA, 6699 tu semuanya jahiliyah la, dan menurut Nizar Jamaludin, 6699 tu semuanya berdosa kerana 'haram syarie' memangkah UMNO. Mentadbir negara bukannya macam mentadbir satu bilik darjah sekolah rendah. Pentadbir negara ada 1001 macam benda nak fikir dan laksana. Yang dahulu, didahulukanlah, yang kemudian dikemudiankan. Kalau rakyat ada yang tidak berpuas hati, tegurlah secara profesional dan berhemah, bukannya melalui emosi. Baru orang respek. Ni tidak, mengondem3x tak abih2. Penat laa....

Anonymous said...

kalau pilih pas lagi aa jgn harap ade projek tembatan banjir ape2 projek ponn tarak....