Thursday, June 23, 2011

Mari Kita Lihat…. Siapakah Gerangan Pimpinan UMNO Yang Mahu Kuburkan Karier Politik Khir Toyo…?

Pendakwa Raya semalam menutup kes perbicaraan ke atas bekas Menteri Besar Selangor Dr. Mohamad Khir Toyo setelah selesai memanggil saksi terakhir iaitu saksi ke 25, Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Mahkamah agak hambar sejak petang semalam apabila kebanyakan saksi yang dipanggil ialah bagi mengesahkan dokumen-dokumen berkaitan pinjaman, minit mesyuarat dan perkara-perkara teknikal. Peguambela juga tidak banyak menyoal balas kerana ia hanya membabitkan perkara-perkara berkaitan pengesahan dokumen yang sememangnya merupakan bukti sah.

Bagaimanapun pada hari terakhir dua saksi yang dipanggil oleh Pendakwaraya telah mengundang padah kepada pihak pendakwa sendiri.


Saksi pertama sebelah pagi semalam Setiausaha Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Mohd Nizam Yaakob yang menjawab soalan-soalan pendakwaraya menunjukkan seolah-olah Dr. Mohamad Khir yang meluluskan projek kepada Bidara Lumayan Sdn Bhd.

Namun pendakwaraya terkejut apabila Peguambela kemudiannya mengemukakan dokumen Permodalan Negeri Selangor Berhad, "Cadangan Pembangunan Secara Usahasama Di antara PNSB dengan Pemaju Di atas Tanah seluas 6.559 hektar di Sungai Long, Mukim Cheras Daerah Hulu Langat Selangor."

Dalam dokumen tersebut jelas pengurusan PNSB yang mencadangkan kepada Lembaga Pengarah agar menerima permohonan syarikat Bidara Lumayan kerana syarikat terbabit tawarkan lebih rumah kos rendah dan penyelesaian setinggan.

Pendakwaraya kelihatan tidak bersedia apabila sekali lagi terkejut tindakan peguambela mengemukakan Minit Mesyuarat PNSB Bil 2/2005, 17 Oktober 2005. Menurut Mohd Nizam, minit mesyuarat tersebut menyatakan Lembaga Pengarah PNSB yang dipengerusi oleh Dr. Mohamad Khir Toyo menolak permohonan empat syarikat termasuk Bidara Lumayan Sdn Bhd kepunyaan Dato Shamsuddin untuk pengurangan pembayaran kepada PNSB. Bagaimanapun dua buah lagi syarikat yang memohon untuk membayar minimum RM 20 juta diterima dalam mesyuarat yang sama.

Pendakwaraya kelihatan agak terkejut dengan pendedahan minit mesyuarat tersebut sehinggakan mereka meminta rehat sebentar dari hakim untuk meneliti minit mesyuarat tersebut. Minit mesyuarat tersebut ada dalam senarai dokumen yang dikumpul oleh SPRM tetapi tidak dimasukkan sebagai dokumen bukti oleh Pendakwaraya. Pendakwaraya hanya merujuk kepada keputusan-keputusan PNSB yang lain.

Justeru apabila peguambela mengemukakan dokumen tersebut untuk dibaca dan disahkan oleh Mohd Nizam, pendakwaraya kelihatan terkejut dan terperangkap. Peguambela juga mengemukakan minit mesyuarat yang menyatakan semua.

Saksi terakhir pendakwaraya ialah Pegawai Penyiasat SPRM, Pemangku Penguasa Kanan SPRM Chang Chin bagi mengesahkan kronologi siasatan dan mengesahkan semua dokumen-dokumen yang dikemukakan oleh Pendakwaraya sebelum ini. Sesi pemeriksaan utama oleh pendakwaraya ke atas Chang agak membosankan sehinggalah peguam bela bangun membuat pemeriksaan balas. Ketika ramai yang beranggapan peguam bela akan mempertikaikan etika kerja SPRM, kaedah soal siasat dan pengambilan bukti, pasukan peguam bela Dr Khir membuat kejutan degan tidak mencabar sebarang dokumen SPRM.

Sebaliknya Ketua Peguam Bela, M. Athimulan bertanya beberapa soalan yang jelas akan menguntungkan pembelaan Dr. Mohamad Khir semasa penggulungan nanti. Antaranya, Pegawai Penyiasat mengakui bahawa terdapat 13 rakaman percakap Dato Shamsuddin diambil SPRM. Lapan daripadanya diambil sebelum dituduh bersama Dr. Mohamad Khir pada Disember 2010. Kenyataan terakhir Dato Shamsuddin ialah selepas tuduhan ke atas beliau digugurkan.

Ini bermakna terdapat empat kenyataan yang dirakam antara tuduhan dibaca di Mahkamah pada Disember 2010 sehingga tuduhan digugurkan pada Jun 2011. memberi tidak kurang lapan kenyataan kepada SPRM sebelum pertuduhan dibuat ke atasnya. Tentulah mahkamah akan tertanya mengapa begitu banyak kenyataan dirakamkan yang sudah pasti bercanggah antara satu sama lain dan menimbulkan kecacatan kredebiliti ke atas saksi.

Selain itu M. Athimulan berjaya memasukkan dokumen penilaian daripada Irhamy and Co dan Rahim and Co melalui saksi pendakwa ke 25 ini. Saksi mengesahkan beliau mendapat nilaian hartanah dan rumah siap bagi Lot PT 62 dan 65 yang dibuat oleh Irhamy and Co sebanyak RM 4.5 juta melalui Maybank Berhad. Saksi mengakui beliau mengambil keterangan Irhamy and Co dan Irhamy mengesahkan nilaian tersebut dilakukan oleh mereka.

Saksi juga mengakui beliau mendapat nilaian Rahim and Co ketika Dr Khir mahu membeli rumah pada 2007 daripada HSBC. Chang juga ketika menjawab soalan M. Athimulan mengakui bahawa beliau ada mengambil keterangan daripada pihak Rahim and Co dan mendapat pengesahan firma terbabit bahawa dokumen nilaian yang mereka lakukan pada 2007 adalah tulen dan benar.

Peguam bela kemudiannya memohon kedua-dua dokumen ini dijadakan bahan bukti pembela. Sungguhpun kedua-dua dokumen ini sebelumnya disebut di dalam perbicaraan, namun tindakan pendakwaraya tidak memanggil kedua-dua firma ini menyebabkan laporan mereka sekadar hearsay dn tidak kukuh sebagai bukti.

Namun pengesahan yang diperolehi oleh Athimulan menerusi saksi SPRM tadi menjadikan nilaian Irhamy and Co dan Rahim and Co sebagai bukti yang kuat menafikan Dr. Khir membeli rumah dengan harga di bawah nilai pasaran daripada pihak yang mempunyai hubungan rasmi dengan beliau.

Jika sebelum ini keengganan pihak pendakwaraya memanggil Irhamy and Co dan Rahim and Co dilihat strategi terbaik mereka sekurang-kurangnya memerlukan Mahkamah memanggil Dr Khir membela diri, namun dengan kemasukan dokumen ini sebagai bahan bukti yang diakui tulen dan sah oleh pegawai penyiasat memberi peluang kepada Dr. Mohamad Khir untuk dibebaskan tanpa dipanggil membela diri.

Mahkamah akan mendengar penggulungan hujah pada 13 Julai 2011. – sumber:
myKMU.net

1 comment:

Anonymous said...

kebijaksanaan peguam datuk khir toyo membela anak guamnya walaupun mungkin ada teori konspirasi untuk menjatuhkan datuk khir tapi isu itu tidak diketengahkan tetapi setiap lop hole pendakwaraya diterjahnya bukan macam nwar dok tuduh konspirasi saja bukti adanya konpirasi yelek