Katanya, identiti kumpulan berkenaan hanya akan didedahkannya dalam program ceramahnya ke seluruh negara, bermula dua minggu depan.
"Saya tak mahu jawab setakat ini, biar saya jawab dalam roadshow. Saya harap orang ramai akan mengikuti saya. Dalam majlis tersebut saya akan bentangkan," katanya dalam sidang media di kediamannya hari ini.
Beliau sekadar berkata, kumpulan berkenaan menduduki jawatan penting dalam parti dan antara lainnya telah berjaya mengubah hala tuju PAS termasuk dalam isu pemecatan beliau daripada parti itu.
Hasan juga mengelak apabila ditanya sekiranya kumpulan yang dimaksudkannya itu merupakan 'golongan Erdogan' dalam parti itu – barisan pemimpin yang lebih banyak mempunyai latar belakang profesional dan bukannya latar belakang agama.
Beliau bagaimanapun memberi beberapa petunjuk bahawa kumpulan berkenaan mempunyai hubungan dengan pergerakan Islam tertentu dan sebahagian mereka bergerak cergas di luar negara sebelum ini sebagai pelajar.
Hasan juga tangkas mengulas apabila ditanya mengenai kenyataan Anwar Ibrahim yang didakwa menyokong kegiatan gay dan lesbian.Katanya, masyarakat akan berpecah sekiranya kegiatan seperti itu dibenarkan.
"Inilah sebab saya tidak boleh bersekongkol dengan Anwar Ibrahim... Inilah sebabnya rakyat Malaysia mesti tolak perjuangan Anwar Ibrahim.
"Misalnya gay, lesbian, homoseksualiti, transgender ini kalau nak dihalalkan di Malaysia ini, mohon dijauhkan tuhan, saya rasa masyarakat akan bergolak, berpecah dan saya nampak huru-hara berlaku.
"Atas itu sajapun, jika itu sebab utama saya tidak boleh bersama Anwar, saya rasa pendirian saya sah.
"PAS yang sepatutnya jadi juara sehingga ini, oleh kerana pengaruh daripada parasit ini, PAS masuk dalam kategori gagal. Ini yang ditakuti, apa pengaruh DAP, PKR dalam PAS?," soalnya.
Katanya lagi, beliau hanya akan menyertai semula PAS sekiranya parti itu dibersihkan dari golongan "parasit" tersebut dan parti itu memerlukan dirinya untuk usaha berkenaan.

Sementara itu, Hasan Ali juga berkata parti itu telah tunduk kepada tekanan daripada PKR sehingga menyebabkan beliau dipecat daripada parti dengan tidak mengikut prosedur.
Sedangkan perbezaan pendapat antara beliau dan pemimpin tertinggi parti berhubung saranan kepada pelajar supaya tidak menyertai perhimpunan 9 Januari itu telahpun "diharmonikan," katanya.
"Saya juga hairan bagaimana PAS boleh tunduk dengan tekanan PKR yang meminta saya dipecat. Apakah PAS sudah hilang maruah diri?
"Pemecatan saya bukan atas dasar kesilapan yang saya lakukan yang telahpun diharmonikan tetapi semata-mata menegur pimpinan PKR yang menghadapi kes mahkamah yang saya katakan bersifat peribadi," katanya dalam satu sidang media di kediamannya hari ini.
Katanya, saranan beliau itu menimbulkan kemarahan timbalan presiden PKR, Azmin Ali yang kemudiannya meminta pucuk pimpinan PAS supaya segera memecat beliau.
"Keesokan harinya (8 Januari) jawatankuasa PAS pusat bersidang dan memutuskan secara drastik bahawa saya telah dipecat daripada menjadi ahli PAS tanpa memberi peluang kepada saya membela diri terhadap tuduhan saya saya sendiri pun tidak dimaklumkan sehingga hari ini.
"Pemecatan saya itu tidak menggunakan prosedur yang biasa diamalkan oleh mana-mana pertubuhan termasuk pertubuhan politik," katanya lagi.
Tambahnya, beliau sepatutnya diberi peluang untuk membela diri terhadap tuduhan bertulis.
Hasan berkata, isu berhubung saranan beliau itu telah "diharmonikan" dalam pertemuan dengan mursyidul am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan juga presiden parti Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada 27 Disember lalu.Katanya lagi, Abdul Hadi dalam pertemuan tersebut juga telah memberitahunya bahawa langkah mengadakan pertemuan dengan pemimpin Umno tidak melanggar disiplin parti.
Hasan juga mengesahkan bahawa beliau telah menerima surat pengguguran daripada anggota majlis kerajaan negeri yang disifatkannya sebagai "tindakan tergesa-gesa."
Bagaimanapun beliau berkata tarikh pengguguran itu bercanggah dengan tarikh pemecatan beliau daripada PAS.
Katanya, beliau masih sah sebagai ahli PAS sehingga minggu pertama bulan Februari.
"Hati saya tertanya, apa di sebalik tindakan yang begitu tergesa-gesa untuk memecat dan menggugurkan saya.
"Tindakan tegesa-gesa ini seolah-olah menampakkan ada pihak yang begitu tidak sabar untuk mengeluarkan dan mengganti tempat saya," katanya lagi.
3 comments:
Hassan Ali ni parasit yang diseludup oleh UMNO sebenarnya ke dalam PAS...
Jika beginilah sikap Hassan Ali, maka tidak ada bezanya dia dgn Ibrahim Ali, Ezam, Zulkifli Nordin, Zahrin dan sewaktu dengannya...motivator apa mcm ini??? Fadzilah Kamsah mesti tersenyum melihat gelagat Hassan Ali ni!!!!!
Parasit untuk memberi kebaikan kpd jamaah Islam memang dialu2kan yg bahayanya jadi pelesit...Hassan Ali golongan yang mana dalam PAS dulu????
Post a Comment