Peguam, Kamarudin Ahmad hari ini memfailkan permohonan bagi mendapatkan
perintah deklarasi ke atas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim
dan Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) supaya membatalkan
cadangan pemindahan lima aset perbadanan itu kepada Private Real Estate
Company (PREC).
Writ saman tersebut difailkan melalui firma guaman milik peguam
berkenaan, Tetuan Kamarudin & Partners di Pejabat Pendaftar Mahkamah
Tinggi di sini semalam.
Menurut Kamarudin, tindakan Abdul Khalid yang dinamakan sebagai defendan
pertama dan PKNS defendan kedua untuk memindahkan aset-aset perbadanan
itu, jelas melanggar Perkara 13(1)(a) Enakmen Perbadanan Kemajuan Negeri
Selangor 1964.
Lima aset tersebut adalah Kompleks PKNS Shah Alam, Kompleks PKNS Bangi,
Pusat Konvensyen SACC Shah Alam, Menara PKNS Petaling Jaya dan Wisma
Yakin, Jalan Masjid India di ibu negara.
``Menurut Perkara 13(1)(a) enakmen tersebut, defendan perlu mendapat
persetujuan bertulis daripada Menteri Kewangan bagi mewujudkan syarikat
dikenali sebagai PREC untuk tujuan menerima pindah milik lima aset yang
dimiliki defendan kedua.
``Defendan pertama juga telah melanggar Perkara 81 Perlembagaan
Persekutuan dengan cara melupuskan aset-aset defendan kedua sehingga
menjejaskan masa depan peniaga-peniaga Melayu dan bumiputera di seluruh
Selangor,’katanya kepada pemberita selepas memfailkan saman tersebut.
Yang turut hadir ialah Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor
(Serang), Budiman Mohd. Zohdi; Pengerusi Gagasan Anti Penyelewengan
Selangor (GAPS), Hamidzun Khairuddin; dan Ketua Pemuda MCA Bahagian
Klang, Datuk Ching Eu Boon.
Mengikut writ saman tersebut, tindakan defendan pertama memindah milik
aset-aset tersebut kepada PREC didakwa jelas melanggar Pindaan Enakmen
PKNS 1972 yang memperuntukkan peranan defendan kedua sebagai agensi
pelaksana dasar-dasar kerajaan Persekutuan.
``Tindakan pemindahmilikan aset PKNS tersebut akan merencatkan
dasar-dasar kerajaan Persekutuan seperti Dasar Ekonomi Baru (DEB), Dasar
Pembangunan Negara dan dasar mewujudkan Masyarakat Perdagangan dan
Perindustrian Bumiputera (MPPB).
``Dasar-dasar kerajaan Persekutuan tersebut akan sukar dilaksanakan jika
aset-aset PKNS dipindah milik kepada PREC kerana entiti tersebut tidak
terikat dengan dasar-dasar pembangunan sosio-ekonomi seperti terkandung
dalam Enakmen PKNS,’’ ujarnya.
Justeru katanya, PREC yang tidak terikat dengan enakmen tersebut, bebas
untuk menjalankan apa saja bentuk perniagaan atau pelaburan yang mampu
menjejaskan aset-aset PKNS tersebut.
Laporan Mingguan Malaysia 28 Oktober lalu mendedahkan satu sumber
dalaman PKNS yang mendakwa kesemua aset komersial PKNS akan diserahkan
kepada syarikat lain pada masa akan datang semata-mata bagi meraih
keuntungan maksimum.
Pengambilalihan tersebut didakwa sebagai 'langkah awal' untuk menjual
kesemua aset komersial syarikat milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat
(PKR) Selangor itu yang matlamat asal penubuhannya adalah bagi membantu
perkembangan ekonomi orang Melayu.
1 comment:
Sebagai rakyat Selangor, saya yakin sama ada Khalid Ibrahim terus menjadi calon MB Selangor atau tidak, PR dan PKR khasnya akan tersungkur dalam PRU 13 kelak. Insya-Allah.
mtk
Post a Comment