Saturday, November 17, 2012

Muktamar PAS 2012 Untuk Agenda DAP....?

MUKTAMAR Tahunan Pas Kali Ke-58 sudah bermula di Kota Bharu, Kelantan. Bagaimanapun tiada apa-apa kejutan yang diharapkan akan berlaku dalam muktamar tersebut.

Walaupun ramai yang ternanti-nanti apakah pendirian Pas dalam pelbagai isu berkaitan dengan Islam termasuk terbaru melibatkan kenyataan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Nurul Izzah Anwar, namun sudah jelas Pas tidak akan melakukan apa-apa dalam soal itu.

Jika apa yang berlaku dalam muktamar Dewan Ulama, Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat diambil kira adalah jelas Pas sudah menanam tekad bahawa sepanjang muktamar ini isu-isu yang boleh menjejaskan hubungan parti itu dengan PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang tidak akan ditimbulkan.

Malahan Dewan Ulama sendiri sudah membuat pendirian bahawa mereka tidak menganggap isu Nurul Izzah sesuatu yang benar sebaliknya tumpuan adalah menumbangkan Barisan Nasional (BN) dan Umno dalam pilihan raya umum.

Selain itu, Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Harun Taib dalam ucapan perasmian di muktamar dewan itu meminta para ulama di dalam Pas agar mempertahankan ijtihad Tahaaluf Siyasi (persefahaman politik) termasuk mengarahkan semua ahlinya mengundi calon-calon bukan Islam di kalangan pakatan pembangkang.

Kalau Dewan Ulama sudah berpendirian demikian, sudah pasti Dewan Pemuda dan Dewan Muslimat tidak akan melepasi apa yang diputuskan.

Tidak kisahlah sama ada pemimpin-pemimpin PKR akan mengeluarkan kenyataan kontroversi berkaitan Islam atau DAP akan terus menentang hukum hudud, yang pasti Pas tidak akan berkata apa-apa dalam muktamar kali ini.

Ucapan dasar Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga dijangka selari dengan keghairahan Pas untuk memburu kuasa bersama-sama kedua-dua parti berkenaan.

Dalam masa yang sama 'serangan' beliau ke atas Umno dan BN tidak akan berakhir ketika merasmikan dewan Muslimat sahaja. Abdul Hadi akan terus menyerang parti pemerintah itu dengan pelbagai hujah bagi menu jukkan kononnya Pas lebih baik daripada  Umno dan pakatan pembangkang 'lebih mulia' daripada BN.

Sememangnya dalam berhadapan dengan pilihan raya, Pas tidak akan mempunyai keberanian untuk menegur kepincangan pakatan pembangkang. Pas tidak mahu sebarang teguran dilihat memberi peluru kepada musuh politik mereka, biar pun hakikatnya sebagai sebuah parti yang kononnya memperjuangkan Islam, mereka harus bercakap atas dasar kebenaran.

Tetapi kita harus ingat, ahli-ahli Pas termasuklah para ulama mereka bukanlah individu bebas apatah lagi pertubuhan bebas yang tiada mempunyai apa-apa kepentingan dalam memburu kuasa politik.

Perjuangan Islam hanyalah platform untuk mereka meraih kuasa politik jesteru sudah pastilah apa juga tindakan yang bakal mereka lakukan ia berlandaskan kepada perhitungan sama ada boleh mendatangkan keuntungan politik kepada pas ataupun tidak.

Oleh itu mana-mana pihak khususnya orang melayu hanya akan bermimpi di siang hari jika mereka mengharapkan dalam muktamar kali ini, Pas akan bersuara tegas sebagai sebuah organisasi yang memperjuangkan Islam.

Tumpuan Pas ialah memenangi pilihanraya, matlamat Pas adalah untuk menawan Putrajaya bersama-sama PKR dan DAP.

Pas semakin lemah untuk bergerak sendirian sebagai sebuah parti politik, sebab itulah kita akan saksikan dalam muktamar kali ini, Pas terus berusaha menjaga hati sekutunya termasuk akan menunjukkan kepada mereka bahawa Pas adalah kawan paling setia.

Pemimpin-pemimpin Pas tidak akan berani menyinggung perasaan Datuk Seri Anwar Ibrahim kalau mereka bercakap soal Nurul Izzah, pemimpin Pas tidak akan berani menegur pemimpin-pemimpin DAP yang menentang hukum hudud kerana kalau kedua-dua tindakan itu dilakukan 'alamatnya' terlepaslah peluang PAS untuk berada sekapal dengan kedua-dua parti itu menuju Putrajaya.

Sebab itulah, ramai yang meramalkan bahawa muktamar kali ini dianggap paling hambar dan tidak akan membawa sebarang erti dalam menonjolkan Pas sebagai parti yang memperjuangkan Islam.

Sebaliknya apa yang bakal disaksikan iatalah kesetian Pas untuk menjadi 'pak turut' dalam pakatan pembangkang dan seterusnya menjadi alat terbaik bagi PKR dan DAP untuk meraih kejayaan cemerlang dalam pilihanraya umum nanti.

Sudah pasti sikap Pas dalam muktamar nanati akan mengembirakan PKR dan DAP kerana mereka bangga apabila sebuah parti yang sebahagian dianggotai oleh ulama akan menurut sahaja apa yang bakal mereka lakukan.

Harapan orang Melayu untuk melihat ketegasan Pas dalam mempertahankan soal-soal berkaitan orang Melayu dan umat Islam hanya tinggal harapan.

Pas tidak akan mempedulikan semua itu kerana apa yang penting ialah menjaga 'tahaluf siyasi' bersama PKR dan DAp bagaikan menatang minyak yang penuh.

Tentulah tidak ada mana-mana perwakilan yang berbahas berani membangkitkan apatah lagi mempertikaikan hubungan ini kerana nanti mereka akan dituduh membawa suara Umno dalam muktamar Pas.

Oleh itu apa yang bakal kita saksikan ialah sekelompok ahli politik yang kononnya menguar-uarkan mereka pejuang Islam akan berhujah mempertahankan kerjasama tersebut.

Apa pun mereka perlu faham, orang melayu dan umat Islam tidak kisah jika Pas beranggapan bahawa menjalin kerjasama dengan PKR dan DAP akan mampu memenuhi impian mereka untuk memperoleh kuasa politik.

Tetapi apa yang orang Melayu tidak mahu lihat ialah bagaimana Pas terlalu taksub dengan kerjasama tersebut sehingga soal-soal berkaitan dengan orang Melayu dan Islam sanggup diketepikan atau bertolak ansur.

Mungkin Pas tidak akan memperdulikan fakta ini kerana mereka mahu menjaga hati PKR dan DAP. Pas hanya berani menyerang pemimpin-pemimpin Umno dan BN tetapi kecut perut apabila berhadapan pemimpin PKR dan DAP.

Begitulah nasib Pas kini yang ditubuhkan oleh sekumpulan ulama dengan matlamat untuk menegakkan syariat Allah di bumi bernama Malaysia ini.

Sikap kemaruk untuk berkuasa dan terlalu teruja untuk menggantikan Umno  telah menyebabkan Pas sanggup mengorbankan segala-galanya hatta prinsip perjuangan sendiri.

Kepada ahli-ahli dan penyokong Pas yang hadir ke muktamar berkenaan teruskanlah berusaha untuk memperkukuhkan hubungan dengan PKR dan DAP tetapi percayalah jika Pas tidak berhati-hati mereka hanya menjadi alat kepada kedua-dua parti untuk meraih kuasa.

Ahli dan penyokong Pas perlu faham bahawa tidak salahnya untuk parti itu bekerjasama dengan mana-mana pihak bagi mencapai kejayaan dalam pilihanraya tetapi biarlah ia dalah situasi 'menang-menang'.

Tetapi apa yang sedang kita saksikan sekarang ialah Pas sebuah parti yang dilihat jauh lebih beribawa daripada PKR dan DAP bagaikan melukut di tepi gantang.

Kalau pemimpin Pas menafikan fakta ini, zahirkan resolusi dalam muktamar kali ini meminta supaya PAs diberi peluang untuk menjadi parti paling dominan dalam pakatan pembangkang buka sekadar pak turut. Soalnya beranikah pemimpin Pas berbuat demikian.

1 comment:

Anonymous said...

Assalamualaikum Bro MIK,
Tolong buka email anda dan baca. Rajin2 lah buka email anda. Banyak email yg dihantar tetapi anda tidak baca ke?
Wasslam