Rata-rata kedengaran rakyat
mengucapkan syukur atas pembentangan Bajet oleh Dato’ Seri Najib yang
menyeluruh, padat dan tepat.
Nampaknya, tiada yang terpinggir dari
mendapat perhatian kerajaan iaitu dari golongan miskin dan sederhana serta
merangkumi semua golongan seperti pelajar, pekerja, petani sehinggalah OKU,
menunjukkan yang ianya dirancang dengan penuh prihatin lagi terperinci.
Seperti yang kita sedia maklum,
masyarakat luar bandar dan golongan miskin bandar adalah golongan yang paling
‘tercabar’ untuk bersaing dalam pembangunan yang begitu yang pesat dan ekonomi
yang tidak menentu.
Dengan itu, seperti kelaziman, kerajaan tidak
pernah melupakan golongan ini dalam pembentangan Bajet tahunan.
Rumah-rumah kos rendah dan berbagai program bantuan dan peningkatan
pendapatan telah disusun khas untuk golongan ini bagi memastikan kesejahteraan
mereka dalam jangka masa panjang.
Namun, hakikat hari ini ialah
golongan berpendapatan sederhana iaitu dalam lingkungan RM3,000 – RM5,000 di
bandar juga tidak terkecuali dari tekanan hebat peningkatan kos sara hidup.
Golongan ini diwakili oleh mereka-mereka yang telah berkeluarga
di mana pemilikan hartanah dan pendidikan anak-anak merupakan keutamaan.
Secara dasarnya, sebuah keluarga di
bandar memerlukan sekurang-kurangnya dua buah kenderaan untuk memastikan
segala-galanya ‘berfungsi’ dengan baik.
Maka, kos bagi dua buah
kenderaan dan sebuah rumah selalunya sudah menjangkau separuh dari pendapatan
bulanan mereka. Itu belum lagi dikira kos pembantu
rumah atau pengasuh, tadika, bas sekolah, kelas agama, tuisyen, keperluan harian
serta kecemasan.
Selain itu, kos sampingan yang perlu ditanggung
mereka secara harian semata-mata untuk bekerja, seperti minyak, tol serta parkir
yang tinggi di bandaraya Kuala Lumpur amatlah membebankan.
Dengan pendapatan sebegini, adalah
sukar bagi sesebuah keluarga berpendapatan sederhana untuk membuat simpanan atau
pelaburan untuk masa depan. Oleh itu, ramai yang memilih untuk
berniaga sambilan bagi memastikan ekonomi rumahtangga mereka lebih
‘selesa’.
Akibatnya, masa berkualiti keluarga
ini amat terhad, di mana masa ibu bapa banyak dihabiskan dalam kesesakan
lalu-lintas, bekerja sambilan atau keletihan lalu menyebabkan anak-anak terabai
sehingga menyumbang kepada masalah yang lain pula di dalam masyarakat,
seterusnya, negara.
Alhamdulillah, nampaknya kerajaan
cukup maklum dan sedar akan masalah yang membelenggu golongan ini sebagaimana
terbukti dalam Bajet yang dibentangkan semalam.
Antaranya,
pengumuman mengenai rumah mampu milik sebanyak 123,000 unit di kawasan Sungai
Buloh dan Seremban, iaitu kawasan di mana golongan ini tertumpu bagi mengelak
kos sara hidup yang tinggi di bandar.
Selain itu, Skim Rumah
Pertama yang sebelum ini dibuka kepada mereka yang berpendapatan bawah RM3,000
kini ditingkatkan kepada RM5,000 dengan gabungan pendapatan isi rumah di bawah
RM10,000 bagi rumah di bawah harga RM400,000 juga pastinya mensasarkan kepada
golongan ini.
Tidak cukup dengan itu, pengurangan
cukai pendapatan sebanyak 1% bagi pendapatan RM2,500 – RM50,000 juga dilihat
mampu mengurangkan beban golongan berpendapatan sederhana ini.
Perlu diingatkan bahawa golongan
berpendapatan sederhana bukan sahaja melibatkan pekerja kerajaan atau kakitangan
awam, tetapi juga pekerja-pekerja swasta. Seperti yang kita
maklum, pekerja swasta tentunya tidak berpeluang menikmati kemudahan pinjaman
perumahan sepertimana kakitangan kerajaan.
Tidak dapat dinafikan bahawa walaupun
Bajet yang dibentangkan kerajaan adalah menyeluruh iaitu melibatkan golongan
petani, pelajar, kakitangan kerajaan, polis, perubatan, tentera sehinggalah
kepada peniaga dan korporat, tetapi ramai yang terlepas pandang akan golongan
pekerja swasta. Oleh itu, pekerja swasta telah biasa merasa
terpinggir dalam pengumuman Bajet oleh kerajaan.
Namun, dengan skim atau program
perumahan yang dibentangkan dalam Bajet semalam, pekerja swasta kini boleh
sama-sama tersenyum dan berterima kasih kepada kerajaan kerana turut berpeluang
menikmatinya.
Justeru, tidak salah jika dikatakan
bahawa Bajet 2013 yang dibentangkan oleh Perdana Menteri adalah bajet yang
terbaik, tepat dan lengkap.
Pembangkang boleh menuduhnya sebagai
Bajet Pilihanraya atau apa saja, tetapi apakah salahnya Bajet Pilihanraya
sekiranya ia berasaskan kemampuan sebenar setelah diambilkira maklumat kewangan
yang tepat?
Bukannya seperti Bajet Alternatif
yang disediakan dengan menggunakan imaginasi semata-mata di mana hasilnya ialah
bajet khayalan yang tidak masuk akal dan mampu mengbankrapkan negara.
Jadi, bukankah seratus kali lebih
baik bagi rakyat untuk memilih kerajaan yang membentangkan Bajet Pilihanraya
daripada memilih pembangkang yang berkhayal sambil mencanangkan Bajet
Imaginasi?




































