‘Si Kitul Moden’…itu gelaran yang diberikan oleh Datuk Seri Najib Tun
Razak pada Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim kerana menghina
intelek rakyat Malaysia apabila mengadu kepada negara luar untuk menjadi
pemerhati Pilihanraya di negara ini.
"Waima, sudah 12 kali pilihan raya umum dijalankan di negara ini,”katanya.
"Dah lebih separuh abad pun kita merdeka... tahulah kita selok belok
negara sendiri. Persoalannya, selepas mereka menang di lima negeri pada
pilihan raya lalu tiada pula rumah siap pahat berbunyi," sindir Presiden
UMNO itu.
Anwar sebelum ini meminta bantuan Australia untuk memastikan pilihan raya umum di negara ini berjalan secara bebas dan adil.
Bagaimanapun permintaannya itu ditolak Menteri Luar Australia,
Senator Bob Carr yang berkata, Australia tidak boleh dan tidak akan
mempengaruhi cara pilihan raya umum patut dilaksanakan di Malaysia.
Anwar
juga dilapor memberitahu Carr beliau punya bukti tentang penipuan
pendaftaran pemilih dan anomali lain dalam menghadapi pilihan raya itu.
Tindakan itu bingkas dibidas Najib yang mengatakan "kalau tidak pandai menari, janganlah lantai dikata jongkang jongkit."
"Misalnya, Suruhanjaya Pilihan Raya yakni SPR difitnah bertubi-tubi. Sehinggakan tunjuk perasaan dianjur.
"Kita tahu, mereka lakukan ini sebagai tindakan awal jangka. Sebab,
seandainya mereka kalah dalam pilihan raya nanti, bukan faktor tidak
mendapat sokongan rakyat akan dibangkitkan namun, pihak SPR lah yang
akan disalahkan dan dianggap tidak adil serta tidak berwibawa," kata
Najib.
Menurutnya lagi, Anwar bukanlah pengurus ekonomi yang cekap kerana
gagal menangani krisis kewangan Asia yang melanda Malaysia pada tahun
1997-1998.
"...terbukti, Menteri Kewangan ketika itulah orangnya, yang kini,
menjadi ketua pembangkang, bukanlah pengurus ekonomi yang cekap," kata
Najib dalam ucapan dasarnya sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di Pusat
Dagangan Dunia Putra di sini tadi.
Katanya tindakan Anwar
ketika itu, memotong perbelanjaan pembangunan dan menaikkan kadar faedah
di saat-saat keyakinan pasaran menurun kerana menggunapakai dasar maya
Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karibnya,
mengakibatkan kesengsaraan kepada rakyat, khususnya masyarakat
perniagaan.
"Orang ini memang selayaknya digelar sesumpah
politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, beza
nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam lain pula
ceritanya. Semasa bersama kita dalam UMNO, caranya sekian, sekarang jadi
Ketua Pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pulak.
"Kalau
ikut pepatah dulu orang menyebut dia ini lidah bercabang. Jelasnya
tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang
mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang
mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang
umat Islam di Gaza. Akan tetapi apabila kerajaan membentang usul
mengecam Israel di Parlimen...dia menyokong pulak...heran," kata Najib.
Beliau
turut mempertikaikan janji Buku Jingga yang melibatkan jaminan
pendapatan purata bulanan isi rumah Malaysia pada kadar RM4,000,
menghapuskan tol, hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional,
RM500 sebulan sebagai elaun khas kepada guru, dan menaikkan royalti
petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri-negeri terbabit.
"Mana
mungkin semua itu diperbuat kerana natijahnya akan memusnahkan ekonomi
negara. Pada tahun pertama seandainya dilaksanakan (manifesto Buku
Jingga), defisit bajet kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30
peratus, dan kedua, menjelang 2015 kadar nisbah hutang negara kepada
KDNK akan melambung kepada 140 peratus," katanya.
Beliau berkata
tahun ketiga pula, Malaysia akan mencapai tahap keparahan dan hilang
kedaulatan ekonomi seperti Greece, dan ketika itu pengurusan iktisad
negara sudah beralih ke tangan institusi antarabangsa.
Menyentuh soal demokrasi cara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP,
Perdana Menteri turut mengkritik caranya yang menyaksikan ketua umum PKR
itu tidak dipilih, sebaliknya dilantik terus ke jawatan itu, isterinya
pula menjadi presiden parti manakala anak sulung mereka menjadi naib
presiden.
Beliau berkata demokrasi pincang cara DAP pula
menyaksikan tempoh jawatan senator Tunku Abdul Aziz Tunku Ibrahim tidak
disambung selepas bekas naib pengerusi DAP itu tidak bersetuju dengan
demonstrasi jalanan Bersih 3.0; dan rumusannya ialah DAP akan
menjatuhkan hukuman kepada siapa sahaja yang memiliki pandangan berbeza
dengan mereka.
Katanya di peringkat kepimpinan pusat DAP pula
ketika ini hanya tinggal seorang sahaja orang Melayu di kalangan 30
kepimpinan pusat DAP.
"Inikah yang dinamakan demokrasi...? Inikah yang dinamakan tidak perkauman...?," tanya beliau.
Presiden
UMNO kemudiannya mengkritik tindak tanduk pembangkang di negeri-negeri
yang dikuasai mereka, yang secara umum berkisar mengenai janji yang
tidak ditepati dan kelemahan pentadbiran.
Di Pulau Pinang, Najib merujuk kepada masalah penduduk Kampung Buah
Pala yang diselesaikan oleh BN walaupun PKR berjanji untuk
menyelesaikannya dalam tempoh dua minggu selepas memenangi pilihan raya.
Beliau
turut merujuk kepada kata-kata Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang
Datuk Mansor Othman yang menggelarkan Ketua Menteri Lim Guan Eng sebagai
'Cocky, Arrogant dan Tokong'.
Di Kelantan pula, katanya masalah bekalan air masih tidak selesai
sehingga kini walaupun sudah 22 tahun PAS menerajui kerajaan negeri,
manakala janji air percuma di Selangor juga tidak ditunaikan oleh
kerajaan negeri kepada penduduk flat kos rendah dan pangsapuri yang
menggunakan meter pukal.
Najib berkata selain itu Selangor juga tidak dapat memberi elaun bulanan RM100 kepada ibu-ibu tunggal di negeri berkenaan