Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan
Nasional (BN) hampir selesai dalam urusan pembahagian kerusi membabitkan
parti-parti komponen untuk Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).
Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN menjelaskan, sebahagian besar
calon dalam pilihan raya umum tersebut juga telah ditentukan dengan
mengambil kira kebolehan serta penerimaan calon terbabit di kawasan
masing-masing.
"Kita (BN) kini menumpukan kepada kesiapsiagaan untuk berdepan
pilihan raya umum akan datang. Masanya akan tiba tidak lama lagi. Oleh
itu, semua parti dalam BN telah diberikan panduan jelas untuk berdepan
pilihan raya.
"Soal pembahagian kerusi, ia sudah hampir selesai. Penentuan
calon-calon, sebahagian besar telah ditentukan. Keperluan-keperluan lain
turut dibincangkan seperti manifesto dan logistik," katanya selepas
mempengerusikan Mesyuarat Dewan Tertinggi BN di Pusat Dagangan Dunia
Putra (PWTC) malam ini.
Najib berkata, BN akan menggandakan usaha untuk menghadapi pilihan
raya umum akan datang bagi memberikan semangat dan keyakinan kepada
jentera parti.
Ditanya mengenai penerimaan rakyat terhadap BN, beliau berkata, ramai
pihak menyatakan penerimaan tersebut semakin bertambah dan positif.
Namun jelas beliau, BN sedar bahawa ketika berdepan dengan pilihan raya umum, beberapa faktor boleh mempengaruhi segala-galanya.
Oleh itu, tegas Najib, BN tidak harus mudah berasa selesa atau
terlalu yakin seolah-olah tiada apa-apa yang mampu menggugat kedudukan
parti.

1 comment:
menang dulu baru boleh umun. Menang adalah lebih penting yang akan menampak merujuk pd kepentingan parti dan bukan kepentingan individu
Post a Comment