Saturday, June 8, 2013

Pembangkang Telah Berjaya Merakyatkan Sikap Biadab



Sekitar pertengahan 1980-an, Tun Musa Hitam menyaran orang Melayu menjadi sedikit kurang ajar dalam keberanian bertanya atau menyoal. Konteksnya ialah keperluan untuk merubah status quo atau membuat perubahan yang perlu bagi kebaikan.

Sejak lewat 1990-an, seorang lagi pemimpin mengajar orang Melayu menjadi kurang ajar. Bezanya, kurang ajar yang disaran oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat total – mencabar dan melanggar undang-undang tanpa peduli, melawan autoriti sedapat mungkin, menghina seteru berterusan, menabur fitnah tahap maksimum dan mengapi-apikan sentimen penyokong.

Lawan tetap lawan adalah slogannya. Tak kira sama ada ia rasional atau tidak.....!

Hari ini, ada sebahagian masyarakat, terutama golongan muda begitu terpengaruh dengan ajakan sebegini. Mereka menjadi berani tidak bertempat, mengganggu ketenteraman awam, tidak toleran kepada pandangan berlainan sama ada dalam perbualan, tulisan atau media sosial dan secara umumnya bersikap anarkis. 

Mereka tidak lagi menghormati institusi seperti polis, tentera, sistem kehakiman dan kerajaan. Mereka tidak bangga jadi Melayu, malah mufti dan ulama pun mereka caci.

Semua maklum bahawa puncanya ialah kegagalan Anwar untuk menjadi Perdana Menteri yang diidamkan sejak 15 tahun lalu. Pelbagai cara dilakukan, namun tidak berjaya. Gerakan Reformasi, Deklarasi Permatang Pauh dan Janji 16 September 2008 adalah antara bukti kegagalannya.

Sebagai orang tengah yang menjadi ‘gam’ kepada dua parti bercanggah ideologi yakni PAS dan DAP, Anwar menubuhkan gabungan pembangkang yang sudah empat kali cuba menawan Putrajaya (PRU 1999, 2004, 2008 dan 2013) tetapi gagal.

Baginya seolah-olah tidak ada cara lain, jika tidak berjaya dengan cara demokrasi, maka tindakan radikal atau revolusilah kaedahnya.

Justeru, diadakan Perhimpunan 505 di beberapa negeri dan menyokong rancangan mengadakan protes jalanan membabitkan jutaan penyokong untuk mengguling kerajaan.


Dalam kalangan masyarakat Cina pun sama. Seorang teman peringkat umur 50-an dari Pulau Pinang memberitahu penulis beliau bimbang dengan trend dan sikap anak muda Cina di negeri itu.

Padahal masyarakat Cina Pulau Pinang umumnya adalah aman, mudah berkira dan mesra menjalani hidup dan berniaga dalam kalangan masyarakat bersama orang Melayu, India Muslim dan kaum lain sejak sebelum merdeka.

“Saya bimbang melihat perangai anak muda Cina yang semakin liar hari ini. Mereka berani dan sukar dikawal. Mereka tiada rasa hormat atau malu. Dalam blog dan Facebook, interaksi mereka penuh dengan kata nista dan cercaan terhadap orang lain.

Yang Dipertuan Agong, Sultan dan Perdana Menteri pun mereka hina....! Ini tidak patut dan sangat bertentangan dengan cara hidup orang Cina Pulau Pinang selama ini.”

Menurut beliau, anak muda Cina Pulau Pinang banyak dipengaruhi oleh cara dan sikap Lim Guan Eng. Walaupun bergelar Yang Amat Berhormat, Guan Eng tidak memiliki gaya atau tatasusila yang dilihat perlu ada pada seseorang ketua menteri.

“Stail dia macam gangster. Tingkah laku dan cara cakap kasar macam pejuang jalanan. Orang ramai melihat pemimpin mereka begitu dan ikut sama. Patutlah bekas timbalannya panggil Guan Eng samseng,” kata beliau.

Guan Eng saling tidak tumpah perangai bapanya, Lim Kit Siang, seorang pemimpin cauvinis yang sekian lama mempengaruhi cara aktivis DAP berfikir dan bertindak.

Turut dibangkitkan ialah kehadiran ramai anak muda Cina di perhimpunan pembangkang di Pulau Pinang, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Kuantan dan Johor Bahru, April lalu kerana tidak berpuas hati dengan keputusan PRU-13.

“Majoriti mereka awal 20-an, sama ada pengundi kali pertama atau pelajar di bawah umur mengundi. Mesej yang ditanam dalam kepala mereka yang hadir hanya tiga: Satu, bahawa UMNO, MCA dan BN adalah bodoh dan rasuah. Dua, mereka menipu dalam PRU-13. Tiga, Kerajaan BN sedang tumbang dan Pakatan Pembangkang akan menang.....”


Persepsi yang ditanam ini adalah satu bentuk membasuh minda.....

Penyokong dan aktivis muda pembangkang diajar untuk tidak menerima realiti pakatan Pembangkang kalah atas alasan mereka menang undi popular. Alasan yang dangkal ini diketengahkan walaupun pemimpin pembangkang memang tahu bahawa sistem pilihan raya yang digunakan di Malaysia sejak 1950-an lagi berdasarkan kemenangan bilangan kerusi.

Andai benar pembangkang yakin dan mahu menggunakan keputusan berdasarkan undi popular, kenapa mereka tidak laksana di Kelantan...?

Dalam PRU 2004, misalnya, undi popular berpihak kepada UMNO-BN tetapi PAS tetap menubuhkan kerajaan negeri walaupun hanya dapat meraih 261,000 undi, yakni lebih rendah daripada 269,000 undi yang diperoleh UMNO-BN. 

Berdasarkan undi popular yang diperoleh pada PRU-13, UMNO-BN sepatutnya mendapat lebih daripada 12 kerusi dalam DUN Kelantan. Mahukah PAS serahkan tujuh atau lapan kerusi lagi kepada UMNO-BN?

Sikap kurang ajar, tidak toleran, tidak sopan, tidak menghormati pihak lain, suka menghina dan kefanatikan melampau golongan ini jika berterusan hampir pasti akan menimbulkan rasa tidak senang di pihak yang diprovokasi.

Jika golongan muda pihak yang diprovokasi mengambil sikap dan berperangai sama dengan golongan membuat provokasi, apa akan jadi kepada negara kita.

No comments: