Sunday, August 11, 2013

Rosnah Shirlin Akan Bertanding Jawatan Naib Ketua Wanita UMNO Malaysia....?

Jawatan Naib Ketua Wanita UMNO dijangka menjadi rebutan dalam pemilihan parti akhir tahun ini selepas kosong ekoran pemecatan Datuk Kamilia Ibrahim sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu.

Bagaimanapun, Penolong Setiausaha Pergerakan Wanita UMNO, YB Datuk Rosni Sohar berkata, mereka yang berhasrat untuk bertanding bagi jawatan Naib Ketua Wanita UMNO itu belum menyatakan hasrat tersebut secara terbuka.

"Ada ramai yang hendak bertanding, cuma mereka tidak menyatakan lagi secara terbuka buat masa sekarang, mungkin lepas Hari Raya Aidilfitri ini," katanya kepada Mingguan Malaysia.

Buat masa ini, jawatan Naib Ketua Wanita UMNO dipangku oleh Ketuanya, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sehingga pemilihan parti hujung tahun ini.

Kamilia sebelum ini menjadi antara 58 ahli UMNO yang dipecat kerana bertanding sebagai calon Bebas di Parlimen Kuala Kangsar pada PRU ke-13 pada Mei lalu.

Kira-kira 150,000 ahli UMNO layak mengundi bagi memilih pemimpin parti pada pemilihan yang akan bermula pada 7 September dan berakhir pada 5 Oktober depan.

Mengulas lanjut, Rosni berkata, calon yang bakal menawarkan diri untuk bertanding jawatan Naib Ketua Wanita UMNO haruslah seorang yang bersedia dan serasi untuk berkerja bersama-sama Ketua Wanita UMNO.

"Sudah pasti itu yang kita harapkan," katanya.

Beliau berkata, sesiapa juga ahli Wanita UMNO boleh bertanding bagi jawatan itu termasuklah bekas ahli Puteri UMNO yang kini telah menjadi ahli pergerakan Wanita.

"Kita tidak boleh menghalang sesiapa untuk bertanding kerana nanti orang akan kata kita tidak buka ruang kepada orang lain. Sesiapa sahaja hendak bertanding, boleh," katanya.

Utusan Online

1 comment:

Anonymous said...

Soalan yang patut difikirkan ialah layakkah rosnah shirlin dinaikkan pangkat untuk menjadi pemimpin no 2 wanita umno? Semasa rosnah memimpin puteri umno pun puteri lembab dan tak bersemangat dan tak banyak ciri2 kepimpinan yang ditonjolkan oleh rosnah. Elok cari orang lain yang aktif sikit untuk memimpin wanita.