Monday, September 30, 2013

Berilah Ruang Untuk Golongan Ulama Supaya Transformasi UMNO Boleh Menguntungkan Melayu Dan Islam.



UMNO disaran mewujudkan majlis ulama UMNO yang peranannya setaraf dengan sayap parti itu atau menyediakan satu platform khas bagi golongan agamawan untuk membolehkan mereka bersuara dalam membantu perjuangan parti terbesar orang Melayu itu.

Pengerusi Badan Bertindak Agama Minda Pondok Kelantan, Mohd. Syamsul Mohd. Yusoff berpendapat, penubuhan majlis itu bagi memastikan perjuangan UMNO dalam menegakkan Islam berada di landasan betul.

Beliau berkata, ia juga dapat menangkis segala tuduhan dan tohmahan liar yang dilemparkan parti pembangkang khususnya Pas bahawa UMNO sentiasa meminggirkan golongan agama.

"Saya cukup yakin dengan penubuhan majlis ulama ini atau satu platform khas untuk golongan agamawan ini akan mewujudkan keseimbangan dan meyakinkan rakyat untuk kembali memilih UMNO serta mengekalkan parti itu pada pilihan raya umum akan datang," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Beliau diminta mengulas kenyataan Pertubuhan Ilmuwan Malaysia yang menyokong penuh cadangan agar UMNO diberi lebih ruang serta peluang kepada golongan agama bagi bersama-sama parti itu demi masa depan Islam dan Melayu.



Penasikat Eksekutif pertubuhan itu, Dr. Fathul Bari Mat Jahya berkata, cadangan itu wajar diperhalusi dan dipertimbangkan kerana dilihat sejajar dengan agenda transformasi parti yang sedang diusahakan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir mencadangkan agar UMNO memberi ruang kepada golongan agama untuk bersama-sama menerajui parti itu.

Mengulas lanjut, Mohd. Syamsul yang menyokong kenyataan Fathul Bari itu berkata, penglibatan lebih serius golongan agama dalam UMNO turut diyakini dapat mengangkat imej parti tersebut dalam kalangan rakyat yang selama ini hanya melihat Pas yang menjuarai isu-isu agama.

"Sedangkan UMNO sendiri sudah memperjuangkan agama sebagaimana termaktub dalam perlembagaannya, cuma orang agama dilihat tidak diberi tempat sewajarnya dalam parti," katanya.

Sementara itu, aktivis Ikatan Cendekiawan Islam Kelantan (ICIK), Mohd. Zawawi Awang berpendapat, ketika ini golongan agama terutama ustaz-ustaz muda amat kurang diberi tempat dalam parti sama ada di peringkat bahagian mahupun negeri.

Justeru katanya, cadangan supaya golongan agama diberi peranan lebih besar dalam parti UMNO perlu dipertimbangkan kerana ia sebenarnya merupakan proses 'ulang kembali' peranan ulama dalam UMNO yang telah wujud sebelum ini tetapi 'diketepikan' sehingga membawa kepada penubuhan Pas.

"Saya menyokong golongan agama diberi ruang supaya transformasi UMNO benar-benar menguntungkan orang Melayu dan Islam. Selain itu, untuk meremajakan UMNO, maka parti kena sedia platform khas kepada golongan agama ini tanpa melibatkan pemilihan atau pertandingan," katanya.
 

Utusan Online..

3 comments:

pillpuss@yahoo.com said...

beri Ruang Untuk Golongan Ulama Supaya Transformasi UMNO Boleh Menguntungkan Melayu Dan Islam."hentikan laaa, takat nak cari makan buleh laaa....

Anonymous said...

Salam, setuju sgt wujudkan majlis Ulama dlm UMNO, tp berprisipkan Akhlak dan hikmah. Tolong jgn wujudkan PAS laknatullah kdua dlm dlm UMNO.

PAS ialah manusia setan yg pakai Agama utk tipu umat!!

Anonymous said...

Boleh pakai ke?