Sunday, October 13, 2013

Penganalisis Jenayah, Datuk Faris Akui SOP Polis Tepati Interpol

Prosedur Operasi Standard (SOP) pengendalian senjata api oleh pasukan polis dalam berdepan penjenayah berbahaya setanding dengan amalan antarabangsa yang menepati garis panduan Interpol.

Penganalisis jenayah, Datuk Ahmad Faris Abdul Halim berkata, berikutan dari sejumlah penjenayah ditumpaskan dalam beberapa kejadian kebelakangan ini, maklum balas yang diterima daripada masyarakat peniaga, eskpatriat dan pelabur asing terhadap tindakan polis itu adalah positif.

"SOP penggunaan senjata api memang awal- awal lagi dibuat oleh British dalam bentuk Commisioner Standing Order (CSO) sehinggalah Malaya/Malaysia mencapai kemerdekaan pada 1957 di mana jawatan Ketua Polis Negara (IGP) diwujudkan dan SOP senjata api pula bertukar menjadi hukuman tetap KPN (IGSO).

"Penggunaan senjata api dibenarkan dalam keadaan-keadaan yang amat terhad sahaja di mana wujud ancaman getir terhadap nyawa atau harta benda dalam situasi tidak ada alternatif lain.

"Walaupun SOP ini sudah tersedia ketat namun selepas kejadian seorang remaja akibat terkena tembakan seorang koperal di Shah Alam pada April 2010, SOP ini telah mengalami kajian semula dan diberi penambahbaikan," kata beliau kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Sehubungan itu, Ahmad Faris yang turut mengetuai sebuah pertubuhan yang membantu pihak berkuasa menangani jenayah, menyokong kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini berhubung tindakan pasukan polis menembak mati penjenayah bagi menjaga keselamatan anggota tersebut.

"Op Cantas Khas yang digerakkan menerusi komitmen menteri berkenaan dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar telah memberi kesedaran meluas mengenai pentingnya aspek keselamatan di persekitaran kita. Jadi, kalau kita berdepan dengan penjenayah berbahaya, apa lagi bersenjata, sudah tentu kita tidak ada pilihan, sama ada ditembak atau bertindak sebaliknya," katanya.

Kenyataan Ahmad Zahid berhubung isu tembak penjenayah bersenjata api dikatakan dibuat dalam satu majlis taklimat keselamatan bersama pemimpin masyarakat dalam satu program tertutup Sabtu lalu.

Utusan Online

No comments: