Thursday, December 25, 2014

Rangkuman Terkini BANJIR - Kenyataan Najib..., Kisah Kak Ijat Dan Azeez Rahim Turun Padang

Sebelum kita perhalusi kenyataan rasmi dari YAB Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak mengenai cara kerajaan menangani krisis dan bencana kini menimpa rakyat di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak sedikit pemakluman mengenai tindakan Shahrizat Jalil dan Azeez Rahim yang segera bertindak untuk mendekati mangsa mangsa yang ditimpa bencana ini.


Sekembalinya Ketua Wanita UMNO Malaysia, Datuk Seri Shahrizat Jalil dari pusat pemindahan mangsa banjir di Kemaman malam tadi, beliau dengan segera melancarkan Misi Sayang, iaitu sumbangan barangan bagi bantuan banjir Skuad Sayang Pergerakan Wanita UMNO / Wanita BN di Pejabat Wanita UMNO tengahari tadi.


Azeez Rahim pula selaku Pengerusi Biro Kebajikan UMNO Malaysia merangkap Presiden Kelab Putera 1 Malaysia sudah 4 hari berada dilapangan meredah banjir demi merasai denyut nadi rakyat yang ditimpa kesusahan.... 



Kenyataan Media

1. Saya telah dimaklumkan bahawa keadaan banjir di beberapa negeri kini semakin teruk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan di sesetengah kawasan meningkat dengan mendadak. 

2. Saya telah berhubung dan berbincang dengan YAB Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri selaku Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negara bagi mempertingkatkan lagi usaha membantu mangsa-mangsa banjir terutama di kawasan yang terjejas teruk dan berisiko tinggi. Saya telah meminta YAB Timbalan Perdana Menteri mempertingkatkan lagi operasi penghantaran bantuan berupa makanan berikutan wujudnya kesukaran untuk sampai ke  kawasan banjir tertentu. 

3. Saya diberitahu antara punca utama usaha memindahkan mangsa-mangsa banjir dan penghantaran barang makanan agak sukar dilakukan di sesetengah  tempat adalah disebabkan paras air yang sangat tinggi, arus deras yang merbahaya untuk kenderaan dan bot penyelamat di samping ada pusat pemindahan yang turut ditenggelami air. 

4. Saya juga diberitahu, usaha penghantaran bantuan menerusi helikopter  terganggu berikutan cuaca buruk yang menyukarkan penerbangan dilakukan. Terdapat juga di kawasan tertentu helikopter tidak dapat mendarat untuk menurunkan bantuan berikutan tiada lokasi sesuai berhampiran pusat pemindahan. 

5. Saya percaya dan yakin pasukan penyelamat kita yang terdiri daripada pelbagai agensi kerajaan dan anggota sukarelawan sedang bertungkus lumus untuk memberikan bantuan yang terbaik termasuk mencari ikhtiar untuk sampai juga ke lokasi pemindahan yang sukar bagi menyalurkan segala bantuan yang ada.

6. Apapun kerajaan akan memastikan agar segala usaha dilakukan bagi membantu semua mangsa menghadapi banjir yang begitu mencabar pada tahun ini.

Dato' Sri Mohd Najib 
25 Disember 2014
Putrajaya

1 comment:

Anonymous said...

Kenyataan Media macam ini yang kita hendakkan bukan nak PM dan TPM pi tempat banjir menyelamatkan mangsa. Respon ni penting utk semua masyarakat supaya tidak timbul perpesi yang bukan2 .INi tak selepas tersebar gambar main golf baru ada kenyataan media ..pelbagai sangkaan buruk masyarakat bayangan kepada pimpinan negara ...itu pun penasihat2 dibelakang PM dan TPM tak boleh tolong pikirkan asyik nak membodek 24 jam...