Tuesday, December 16, 2014

YES..! Ini Bukti Bukti Sahih...1MDB Tidak Korup, Tidak Rasuah, Tidak Seleweng. Baca Dan Faham. Jangan Percaya Pada Fitnah....

SUMBER

Sejak minggu lepas, terdapat banyak spekulasi mengenai pelbagai elemen dalam perniagaan 1MDB. Walaupun kebanyakan isu-isu yang dibangkitkan adalah perkara-perkara yang diulang dan telah pun dijawab oleh syarikat pada masa lalu, kami memandang serius tuduhan yang dilemparkan.

Oleh itu, kami ingin mengambil peluang ini untuk memberi respon terhadap tuduhan-tuduhan yang tidak berasas ini, dengan niat untuk memberi penjelasan dari perspektif kami, dan memberi peluang para pembaca membuat rumusan tersendiri terhadap 1MDB dengan maklumat yang kami sampaikan.


Terbitan Bon / Hutang

Kebimbangan telah ditimbulkan terhadap kadar faedah 5.75% yang dikenakan kepada bon Islamik RM5.0 billion yang diterbitkan oleh 1MDB pada 2009, dengan tanggapan bahawa ini adalah sebuah bon dengan kadar faedah yang tinggi.

Sebagai perbandingan, dinyatakan bahawa sebuah lagi syarikat berkaitan kerajaan, Petronas, telah membayar kadar faedah sebanyak 3.60% untuk bon pada masa yang sama.


Ini adalah perbandingan yang tidak adil dan tidak mengambil kira beberapa faktor-faktor penting.


Apabila membeli sesuatu bon, pemberi pinjaman akan mengambil risiko pada kadar tertentu. Lebih lama tempoh pegangan, lebih tinggi risiko untuk pemegang bon. Oleh itu, bon-bon yang mempunyai tempoh matang yang lebih panjang biasanya mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.

Sepanjang pengetahuan kami, satu-satunya bon berkaitan Petronas yang dikeluarkan pada 2009 yang membawa kadar kupon 3.6% adalah untuk bon RM100 juta dengan tempoh pegangan hanya selama tiga tahun.

Dengan tempoh matang yang sangat jauh berbeza, tidaklah mengejutkan jika bon yang diterbitkan 1MDB mempunyai kadar faedah yang lebih tinggi.

Secara umumnya, adalah penting untuk dinyatakan bahawa bon yang dikeluarkan oleh 1MDB pada 2009 merupakan bon pertama Malaysia dengan tempoh pegangan selama 30 tahun, dan juga merupakan bon Islamik pertama yang dikeluarkan dengan tempoh matang sepanjang itu.

Dengan keadaan ekonomi pada masa itu, hakikat bahawa 1MDB berjaya menjana jumlah dana sebesar ini mencerminkan sokongan, nama baik dan keyakinan yang diletakkan terhadap syarikat.

Kami juga memandang serius spekulasi tidak berasas bahawa sebahagian daripada kadar faedah ini telah dibayar kepada ‘orang tengah’ sebagai sejenis bayaran manfaat. Ini adalah tuduhan yang serius.

Kami ingin menjelaskan secara tegas bahawa keseluruhan 5.75% kadar faedah tahunan tersebut adalah dibayar kepada para pemegang bon, yang antaranya terdiri daripada institusi-institusi terulung di Malaysia, dua kali setahun mengikut jadual pembayaran.

Untuk mengatakan sebaliknya atau menyindir bahawa sebahagian jumlah dibayar kepada ‘orang tengah’ adalah secara faktanya tidak benar.


Komisyen dan Fi Yang Tinggi

Selanjutnya, kebimbangan juga telah ditimbulkan mengenai komisen dan fi yang ditanggung oleh 1MDB untuk terbitan dua hutang tambahan pada tahun 2012 dan 2013, masing-masing untuk US$1.75 billion dan US$3.0 billion.

Kedua-dua bon ini telah dikeluarkan pada kadar diskaun yang biasa bagi tawaran-tawaran bon. Sebarang perbezaan di antara nilai tara (par value) dan perolehan bersih sebuah bon tidak hanya meliputi bayaran dan perbelanjaan lain, tetapi juga hasil efektifnya (effective yield) yang turut mengambil kira diskaun dan baki tempoh pegangan bon.

Kami ingin menjelaskan bahawa sejumlah besar perbezaan di antara nilai tara (par value) bon tersebut dan perolehan bersih adalah berkaitan dengan bon dikeluarkan pada kadar diskaun. Keputusan ini diambil untuk memastikan kejayaan menyempurnakan pengumpulan dana berpandukan faktor dalaman dan luaran pasaran, kepantasan untuk melaksanakan tawaran dan skala penajajaminan (underwriting).


Kedua-dua terbitan hutang dijamin penuh oleh Goldman Sachs, sebuah bank pelaburan terkemuka antarabangsa.


Ianya merupakan salah satu daripada sejumlah kecil bank yang mempunyai kemampuan untuk menjamin terbitan hutang sebesar ini. Bon-bon yang dikeluarkan pada kadar diskaun kepada nilai taranya (par value) memastikan kejayaan terbitan hutang kami tepat pada masanya, dalam keadaan ekonomi global yang masih tidak stabil ketika itu.

Berkaitan transaksi yang dinyatakan di atas, kami memandang serius sindiran bahawa Goldman Sachs mungkin telah membuat bayaran kepada pihak ketiga, satu tuduhan yang kami nafikan dengan tegas.

Goldman Sachs telah menyatakan secara terbuka: “Selain daripada firma perundangan dan perakaunan yang menyediakan khidmat professional, tiada fi atau komisen dibayar oleh 1MDB atau

Goldman Sachs kepada pihak luar ketiga berkaitan dengan transaksi-transaksi ini, dan kami tidak pernah diarahkan oleh 1MDB atau sesiapa pun untuk membuat sebarang bayaran atau komisen”.


Kadar Hutang

Seperti mana-mana syarikat besar, 1MDB telah menjana modal melalui pasaran hutang antarabangsa untuk membiayai projek-projek tertentu, pada skala yang memerlukan kami untuk berbuat demikian.
Kesemua hutang kami adalah disokong oleh aset yang kukuh, dan jumlah keseluruhan aset kami (RM44.67 billion pada tahun kewangan berakhir Mac 2013) dengan selesa melangkaui jumlah keseluruhan hutang kami (RM37 billion dalam tempoh yang sama).

Adalah penting juga untuk dinyatakan bahawa kami tidak pernah terlepas membuat pembayaran mengikut jadual, dan kami juga tidak berniat untuk berbuat demikian.

Kebolehan kami yang konsisten dalam meraih dana di pasaran antarabangsa dan daripada pelabur yang berkualiti, mencerminkan keyakinan mereka terhadap kami. Penyenaraian aset tenaga kami adalah satu daripada siri usaha yang kami rancang bagi mengurangkan hutang kami.

Selain itu, kami sedang memajukan perniagaan hartanah kami dengan projek-projek seperti TRX dan Bandar Malaysia.

Sejak tahun lepas, kami telah memeterai beberapa perjanjian dengan syarikat-syarikat terkemuka dan institusi-institusi dari seluruh dunia seperti Lend Lease, sebuah kumpulan hartanah dan infrastruktur antarabangsa. Semua ini akan membawa kepada aliran masuk dana ke Malaysia.

Kami berterusan meningkatkan nilai aset hartanah kami bagi membolehkan kami mendapat perolehan yang boleh digunakan untuk memacu pertumbuhan masa depan serta mengurangkan kadar hutang kami.


Terlebih Bayar untuk Aset

Selain dakwaan-dakwaan berkenaan terbitan hutang 1MDB, tuduhan-tuduhan mengenai jumlah yang dibayar 1MDB untuk aset-aset tenaga dan hartanah juga telah ditimbulkan semula sekali lagi.

Seperti mana-mana syarikat lain, kami hanya memperoleh aset apabila kami yakin bahawa ia akan memberikan nilai yang tinggi kepada perniagaan kami. Sejajar dengan sasaran strategik Kerajaan untuk menjamin bekalan tenaga Malaysia, kami telah membeli beberapa aset tenaga sejak 2012.

Pembelian ini telah membolehkan kami untuk mempelbagaikan campuran bahan api dan risiko negara kami, selain mendapat manfaat daripada aliran tunai yang sihat serta kepakaran pihak pengurusan yang unggul.

Dakwaan-dakwaan berkaitan jumlah yang kami bayar untuk aset-aset tenaga kami berkisar tentang nilai yang dikaitkan kepada aset-aset berkenaan pada masa ianya dibeli dan berdasarkan kepada andaian tertentu yang dibuat oleh pihak luar.

Walau bagaimanapun, kami memandang jauh dan mengambil kira sinergi yang lebih meluas untuk kumpulan, di samping impak sosial dan ekonomi kepada negara, ketika membuat penilaian terhadap aset-aset tersebut serta ramalan pulangan ekonomi. Oleh itu, kami percaya bahawa nilai yang kami bayar bagi aset-aset ini – yang mungkin melibatkan pembayaran yang premium, adalah perkara biasa apabila membeli perniagaan lain – sepadan dengan potensi semasa dan masa depan aset-aset tersebut.

1MDB juga telah menerima dakwaan bahawa ia telah membayar lebih untuk beberapa keping tanah di Pulau Pinang. Tanah yang dipersoalkan terletak di pusat bandar Air Itam, sebuah kawasan yang mendapat permintaan tinggi di mana harga hartanah telah menampakkan kenaikan yang tinggi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Saiz tanah yang dibeli membenarkan kami untuk membina hampir 10,000 rumah mampu milik, dan kami berniat untuk menggunakan beberapa keping tanah yang tinggal – yang bersaiz besar – untuk tujuan pembangunan lain yang kami harapkan bakal menjana nilai yang tinggi. Oleh itu, kami yakin dapat menambah nilai keseluruhan tanah tersebut, dan percaya harga yang kami bayar adalah berbaloi.

Ini dicerminkan dalam harga yang telah dibayar pemaju lain untuk membeli tanah di kawasan sekitar di mana pada harga RM200 sekaki persegi, adalah agak tinggi berbanding apa yang kami bayar. Salah satu contoh, pada tahun 2013, lebih kurang 9.8 hektar tanah di Air Itam telah dibeli pada harga RM267.4 juta, kira-kira RM251 sekaki persegi, untuk pembangunan kegunaan bercampur.


Layanan Istimewa untuk Tender Projek Janakuasa

Kedudukan kami sebagai pengeluar tenaga bebas kedua terbesar di Malaysia, rekod prestasi yang baik dalam sektor, serta pihak pengurusan berpengalaman bermakna kami adalah pemain kompetitif di dalam sebarang proses bidaan tender.

Pada awal tahun ini, konsortium bersama yang dianggotai oleh 1MDB dan Mitsui & Co telah mengambil bahagian dalam proses bidaan tender terbuka dan kompetitif untuk sebuah loji janakuasa arang batu berkapasiti 2,000MW yang dikenali sebagai Projek 3B. Setelah membuat pertimbangan sewajarnya terhadap pelbagai bidaan lain, Suruhanjaya Tenaga mengumumkan bahawa konsortium kami telah dipilih sebagai pembida pilihan.

Kemudian, ada yang mengatakan 1MDB menerima layanan istimewa, dan bidaan bersama kami adalah tidak sebaik bidaan yang dihantar oleh pembida-pembida lain dalam proses tersebut. Sebarang penganugerahan adalah berdasarkan beberapa pertimbangan untuk memastikan bekalan tenaga yang terjamin dan menjimatkan kepada pengguna, sebagai contoh: standard teknikal bidaan tersebut, rekod prestasi syarikat, harga tawaran, keperluan untuk melaksanakan projek dengan segera dan jaminan tenaga serta kos keseluruhan sistem bidaan tersebut.

Seperti yang diumumkan oleh Suruhanjaya Tenaga dalam kenyataannya, Konsortium 1MDB-Mitsui telah memenangi proses bidaan “secara adil dan saksama dengan teknologi yang terbukti yang bakal meningkatkan jaminan bekalan tenaga seperti yang dijangkakan daripada stesen janakuasa arang batu berkapasiti 2000MW yang beroperasi di dalam sistem grid sebesar kita”.

Ia juga penting untuk dinyatakan bahawa 1MDB tidak berjaya dalam proses bidaan tender lain yang kami sertai, seperti loji gas Prai dan loji arang batu berkapasiti 1000MW. Kedua-dua projek ini dimenangi TNB, yang pada pandangan pihak berkuasa telah menawarkan pakej yang lebih baik, walaupun 1MDB menawarkan harga bidaan terendah untuk proses tender Prai.


Pembiayaan Untuk Projek 3B

1MDB ingin menyatakan bahawa consortium kami membayar kurang daripada RM8 juta untuk menyediakan dan menghantar bidaan kami untuk Projek 3B. Ini adalah kira-kira separuh daripada jumlah yang dibelanjakan oleh pembida lain pada peringkat ini menurut dakwaan sebuah akhbar bisnes harian.

Sepanjang pengetahuan kami, tiada pembida lain yang tampil ke hadapan untuk mendedahkan maklumat ini kerana ianya adalah maklumat perniagaan yang sulit. Kami mendedahkan perkara ini kerana kami ingin menghentikan sindiran yang tidak berasas ini.


1MDB tak membelanjakan US$100 juta untuk Projek 3B.

Sebaik sahaja mendapat projek tersebut, Konsortium 1MDB-Mitsui bergerak ke peringkat pembangunan seterusnya untuk membolehkan stesen janakuasa tersebut beroperasi, dijangkakan pada tahun 2018.Majoriti kos pembangunan adalah dibelanjakan dalam tempoh pembangunan ini.

Kos pembangunan atau fi pembangunan adalah apa yang dibayar kepada penaja projek untuk kerja pembangunan yang dilakukan oleh penaja projek untuk merealisasikan projek tersebut, daripada proses bidaan sehinggalah kepada operasi stesen janakuasa. Ianya bukan merupakan kos pembayaran balik.

Untuk pembiayaan projek industri tenaga, kos pembangunan biasanya terletak di antara 5% hingga 8%. Kos pembangunan kami – termasuk sebarang fi pembangunan yang ditanggung oleh kedua-dua rakan kongsi projek, 1MDB dan Mitsui – adalah 5.5% daripada kos projek, suatu kadar yang rendah.

1MDB yakin dengan cara pembiayaan projek antarabangsa kami yang dijalankan dengan kerjasama erat rakan kongsi antarabangsa kami Mitsui, salah satu syarikat perdagangan am terbesar di Jepun.

Pembiayaan projek sebegini di mana ekuiti disuntik kemudian (back-ended), merupakan yang pertama di Malaysia tetapi adalah amalan biasa untuk projek-projek antarabangsa yang besar.

Ia akan membantu memperbaiki pulangan ekuiti penaja projek, disebabkan oleh kesan nilai masa (time value) terhadap wang, kerana bayaran dibuat dahulu dan bukannya daripada aliran wang tunai operasi projek tersebut. Jumlahnya dibincangkan dan tertakluk kepada kelulusan pemberi pinjaman.

Selanjutnya, sebarang tuduhan bahawa pemegang bon 3B kami akan menanggung risiko tersembunyi adalah sama sekali tidak benar dan tidak bertanggungjawab. Bon kami didatangkan dengan jaminan bank yang memastikan komitmen promoter dalam suntikan ekuiti. Keselamatan aliran wang tunai dan pulangan kepada pemegang bon adalah terjamin.

No comments: