Monday, February 2, 2015

Jangan Marah Jackie Chan Dapat Gelaran Datuk... JOM Kita Fahamkan Apa Kaitan RUMAWIP 80,000 Dengan Ku Nan

‎Teks Ucapan YB Datuk Seri Utama Tengku Adnan Tengku Mansor

Bismillahirrahmanirrahim Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh Salam Sejahtera Dan Salam Wilayahku Ceria   

1. Mengadap Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Mu'tasimubillahi Muhibbuddin, Tuanku Alhaj Abdul Halim Mu'adzam Shah, Ibni Al-Marhum Sultan Badlishah   Mengadap Seri Paduka Baginda, Raja Permaisuri Agong, Tuanku Hajjah Haminah.   Ampun Tuanku Sembah Patik Mohon Diampun   

2. Pada hari yang penuh istiadat dan bersejarah ini, patik bagi pihak seluruh warga Wilayah Persekutuan, dengan rendah hati dan tulus ikhlas, merafakkan sembah menjunjung kasih, di atas titah dan ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku untuk mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan.  

 3. Patik sekalian mengangkat sembah takzim di atas ampun perkenan Seri Paduka Baginda Tuanku dan Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong untuk mencemar duli bagi menyempurnakan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan Tahun 2015 yang berlangsung pada hari ini.   

4.  Keberangkatan Seri Paduka Baginda Tuanku berdua, ke majlis ini amat besar maknanya buat patik dan seluruh warga Wilayah Persekutuan.   Ampun Tuanku,   

5. Gagasan Wilayah Persekutuan genap berusia 41 tahun selepas penubuhannya dibentuk pada 1 Februari 1974. Atas kelangsungan dalam menerajui pembangunan dan kemajuan, tema sambutan kali ini ialah 'Wilayahku Ceria' atau 'My Cheerful Territory'. Tema ini dipilih sebagaimana hasrat kerajaan untuk memastikan setiap warganya berada dalam keadaan selesa, tanpa resah atau gelisah dalam menjalani kehidupan seharian di bandar-bandar Wilayah Persekutuan.   

6. Patik dan seluruh kakitangan kementerian patik sentiasa berusaha untuk memastikan 'Wilayahku Ceria' menjadi keutamaan. Semua tindakan dibuat berasaskan rasionaliti dan kebertanggungjawaban dari pimpinan atas hinggalah ke akar umbi dengan turun padang serta menyelami setiap permasalahan yang ada. Ini dibuat selaras atas misi untuk menerajui kemajuan dan pembangunan Wilayah Persekutuan serta meningkatkan mutu hidup masyarakat dan membasmi kemiskinan keseluruhan.   Ampun Tuanku,   

7. Pada penghujung tahun lepas, Malaysia diuji dengan musibah banjir yang luar biasa khususnya di pantai Timur dan Utara Semenanjung. Walaupun bumi Wilayah Persekutuan diselamatkan dari ditimpa malapetaka sedemikian, Patik dan Kementerian Patik merasa amat simpati dengan nasib mereka yang terlibat. "Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul".   

8. Justeru, di atas dasar mahabbah dan semangat persaudaraan, Kementerian Wilayah Persekutuan telah melancarkan Misi Bantuan Banjir KWP 2015 ke lokasi-lokasi yang terjejas kritikal oleh banjir.   

9. Selepas itu pula, terkini negara mengalami kesan daripada perubahan landskap ekonomi global. Namun, di atas rasa tanggungjawab dan keprihatinan, Kerajaan kepimpinan Memanda Tuanku, YAB Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak, Perdana Menteri telah mengambil pendekatan bijaksana dengan mengumumkan beberapa langkah proaktif untuk memastikan pertumbuhan, pembangunan dan sasaran defisit fiskal Malaysia dapat diteruskan. Dalam masa yang sama, sebagai langkah berjimat, Patik telah pun mengambil ikhtiar melalui Kementerian Wilayah Persekutuan untuk berbelanja berhemah dan memastikan setiap acara, program dan aktiviti diadakan secara amat sederhana sahaja.   

10. Wilayah Persekutuan adalah teraju kepada kemajuan yang menjadi landskap utama untuk Malaysia maka tentunya keamanan, kemakmuran dan kesejahteraan menjadi aspirasi utama. Sehubungan itu, adalah tanggungjawab patik dan Kementerian Wilayah Persekutuan untuk memastikan tiada gejala negatif dan kepincangan yang boleh mencemar negara berlaku.   

11. Apatah lagi, kelestarian Wilayah ini tercermin melalui Kuala Lumpur yang menjadi Ibu Kota Malaysia dan juga bandaraya bertaraf dunia. Untuk makluman, Independent UK melalui Euromonitor International telah meletakkan Kuala Lumpur sebagai The 10 Most-Visited City in The World dengan pengunjung seramai 11.2 juta orang, setanding dengan Hong Kong, Singapura, Bangkok, London, Paris, Macau, New York, Shenzhen, dan Antalya, Turkey. Sementara Putrajaya adalah Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan yang termoden, terurus dan terancang manakala Labuan menjadi pusat perniagaan yang menempatkan hab minyak dan gas di samping pusat kewangan antarabangsa.   

12. Atas amanah yang terpikul, patik sentiasa berusaha untuk memastikan setiap penyelerasan perancangan pembangunan dan kemajuan akan berterusan untuk kelangsungan kesejahteraan masa hadapan. Pelbagai polisi, dasar dan program telah dilakukan oleh kerajaan dalam memberi bantuan kepada rakyat termasuklah menggerakkan 'Wilayah Persekutuan Prihatin' atau 'Wilayah Persekutuan Care'.   

13. Melalui program tersebut, golongan yang kurang berkemampuan, ibu-ibu tunggal, orang kelainan upaya, dan mereka yang hidup dalam kesusahan diambil berat tanpa meninggalkan golongan gelandangan yang turut diberi perhatian sama ada makanan, penginapan, perubatan dan kaunseling.   

14. Dalam masa yang sama, semua projek pembangunan khususnya yang bersifat ekonomi kepentingan rakyat berlangsung lancar termasuklah NKEA Greater Kuala Lumpur/Klang Valley    membabitkan River of Life, Pedestrian Walkway, Heritage Trails, Greener Kuala Lumpur, MyRapid Transit (MRT), Sewerage Non-River, Greener KL, dan Solid Waste Management.  Ia adalah salah satu kepada pemacu pertumbuhan ekonomi dalam mendokong kepada kemajuan negara akan datang.   

15. Seterusnya, dalam usaha mengatasi isu perumahan maka Dasar Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) diwujudkan. Sejumlah 80,000 unit rumah awam disasar untuk dibangunkan di seluruh Wilayah Persekutuan dalam lima tahun akan datang, iaitu 50,000 unit di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, 20,000 unit di Wilayah Persekutuan Putrajaya dan 10,000 unit di Wilayah Persekutuan Labuan. Sehingga kini, sejumlah 14,989 unit rumah sudah pun dalam peringkat pembinaan, 3,293 unit sudah mendapat kelulusan Perintah Pembangunan (Development Order), manakala 33,337 lagi berada di dalam peringkat perancangan.   

16. Turut dilaksana ialah pembangunan Kampung Baru yang dilakukan melalui Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru. Melaluinya banyak manfaat kepada rakyat dan para penduduknya akan dicapai kerana pembangunannya dirancang lengkap dengan komponen kediaman dan perniagaan, iaitu berteraskan 'People City' dengan 'Live, Work, Learn and Play' yang jadi inti pati utamanya.   Ampun Tuanku,   

17. Dalam usaha memastikan keselesaan rakyat, pelbagai kerja naik taraf dan pembangunan kemudahan awam dipergiat. Namun patik sedar, kemajuan bukan hanya diukur dari pembangunannya tetapi juga ketinggian nilai dan peradaban rakyat diambil kira. Sebagai sebuah bandaraya, masalah moral dan kepincangan sosial adalah perkara serius yang perlu dibendung. Selaras dengan itu, patik dan kementerian patik mengambil berat hal terbabit dengan menubuhkan Operasi Bersepadu Banteras Aktiviti Haram (BAH) dengan tujuan memastikan Wilayah Persekutuan terhindar dari sebarang gelaja negatif dan hal-hal yang bertentangan dengan agama.   

18. Kementerian Patik turut mengambil pendekatan gerak kerja melalui Pasukan Petugas atau Task Force. Sebanyak lima buah Task Force telah diwujudkan bagi menangani isu-isu seperti Aktiviti Haram, Kebersihan, Lalu lintas, Perumahan Awam dan Keceriaan. Dengan berasaskan Strategi Lautan Biru, kerja-kerja Pasukan Petugas ini menggembelingkan tenaga kerja dari pelbagai pihak agensi Kerajaan, wakil masyarakat dan juga NGO. Selain itu pendekatan melalui pendidikan, kesedaran moral dan penghayatan berteraskan agama khususnya untuk generasi muda dilaksana termasuklah penguatkuasaan dipertingkat di semua peringkat.   

19.  Turut sama dilaksana, usaha-usaha untuk menceriakan hidup rakyat di Wilayah Persekutuan dibuat dengan disulami program riadah untuk manfaat bersama sebagaimana KL Car-Free Morning yang mengajak warga kota untuk bersukan di samping memupuk kesedaran cintakan alam sekitar.   

20. Sesungguhnya, patik selaku pentadbir di Wilayah Persekutuan akan mendokong amanah untuk memastikan kepentingan rakyat berada ditangga teratas dengan kelangsungan hidup berteraskan Wilayah maju dan sejahtera. Perpaduan masyarakat turut menjadi keutamaan atas kesedaran bahawa negara ini terikat dengan masyarakat yang berbilang bangsa, mempunyai anutan agama berbeza dan budaya yang berlainan.   

21. Justeru, gagasan kerajaan yang mendukung konsep 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan menjadi komitmen bersama agar keseimbangan kaum yang berkongsi masa hadapan terus menjadi realiti.   

22. Berpaksikan kesatuan dalam kepelbagaian, perpaduan dipupuk sebagai iltizam untuk kecemerlangan berterusan. Patik percaya, kejayaan dan kelestarian Wilayah Persekutuan hari ini diangkat hasil daripada kesepaduan masyarakat untuk bersama-sama para pemimpin kerana semuanya berganding bahu dan sedar bahawa, bersatu akan terus teguh namun jika bercerai pastikan roboh.     Ampun Tuanku, Sembah Patik Mohon Diampun,   

23. Bersempena Istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Wilayah Persekutuan kali kelapan ini, seramai 356 orang akan menerima anugerah. Ini adalah pengurniaan yang diberi berdasarkan kepada khidmat bakti dan jasa yang telah dicurahkan selama ini. Semoga dengan anugerah ini komitmen dan semangat untuk meningkatkan kemajuan dan prestasi Wilayah Persekutuan akan berterusan selain menjadi pemangkin bagi memastikan 'Wilayahku Ceria' terjamin, dan memenuhi persekitaran yang kondusif bagi peningkatan kualiti hidup bersama.   

24. Sehubungan itu, Patik bagi pihak semua warga Kementerian Wilayah Persekutuan, anggota pentadbiran, pegawai dan kakitangan kerajaan dan swasta, badan bukan kerajaan, persatuan penduduk dan seluruh rakyat jelata di bawah jajahan takluk Tuanku dengan penuh hormat dan takzim menyampaikan ikrar taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku.     

25. Patik sekalian memanjatkan doa semoga Allah Subhanahu Wa Ta'ala melanjutkan usia dan melimpahkan rahmat-Nya ke atas Seri Paduka Baginda Tuanku Berdua. 

Sekian.   Ampun Tuanku beribu ampun, Sembah patik harap diampun.

Sent from my BlackBerry Z30 smartphone.

3 comments:

Anonymous said...

Udang di sebalik mee.

Biasalahhhhh be end.

halim yusop said...

Jacki chan.....aduhhh

Anonymous said...

AKU DAPAT DATUK.....PASTI TAK MENGELUH.....YANG DAPAT ORANG LAEN.....ALAHAI.........