Tuesday, March 31, 2015

Cikgu Zaidi Sarankan PAS Buktikan Kekuatan Mereka Di PRK Permatang Pauh....!


Ketua UMNO Bahagian Permatang Pauh Datuk Mohd Zaidi Mohd Said yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Zaidi berkata PAS juga perlu segera bangkit membuktikan kepada DAP dan PKR, bahawa mereka bukanlah sebuah parti belasah gabungan itu sehingga tidak diberi satu tempat sebagai Exco dalam kerajaan DAP di Pulau Pinang.

DAP sering mengatakan PAS tidak mempunyai apa-apa faedah dalam gabungan Pakatan Rakyat (PR) sehingga DAP telah memutuskan hubungan dengan Presiden PAS minggu lalu, atas alasan PAS hanya mempergunakan tiket PR untuk melaksanakan dasar perjuangan parti Islam itu.

Oleh itu, PAS perlu membuktikannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh yang bakal diadakan, dengan menyokong parti Barisan Nasional (BN) bagi membuktikan bahawa PAS juga mempunyai pengundi di Permatang Pauh yang membantu PKR memenangi kerusi itu selama ini. 

Cikgu Zaidi berkata, ini adalah masa terbaik untuk PAS membuktikan bahawa kemenangan calon PKR selama disebabkan oleh sokongan pengundi PAS.

Tambah Zaidi, tanpa sokongan pengundi PAS selama ini, BN tidak dapat ditumbangkan oleh calon PKR di kerusi Parlimen itu.

"Saya amat yakin bahawa ini adalah masa terbaik bagi membuktikan bahawa kemenangan calon PKR selama ini di Permatang Pauh adalah disebabkan sokongan daripada pengundi PAS. PKR dan DAP tidak mempunyai pengaruh dan kekuatan yang mencukupi untuk menumbangkan BN tanpa sokongan ahli-ahli PAS," kata Zaidi ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurut Zaidi, jika PAS dapat memberi sokongan mereka kepada BN dalam PRK akan datang ini dan berjaya menumbangkan calon PKR, nescaya DAP dan PKR tidak akan lagi berani mencabar PAS selepas itu.

Selain itu, ianya akan mengubah senario politik di negara ini pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.

"Sekiranya PAS dapat membuktikan pengaruh mereka sebagai penentu kemenangan BN di Permatang Pauh dalam pilihan raya kecil akan datang maka DAP dan PKR pasti tidak berani mencabar PAS yang dikatakan akan keluar meninggalkan Pakatan Pembangkang.

" Kekalahan di kubu kuat PKR (Permatang Pauh) ini akan mengubah senario politik dalam negara pada Pilihan Raya Umum ke-14 nanti dan ini juga dapat membuktikan peranan PAS dalam pakatan selama ini bukanlah sekadar melukut di tepi gantang," katanya.- UTARANEWS


No comments: