Tuesday, June 2, 2015

Sepatutnya Ada Seorang Veteran UMNO Main Peranan Jadi "PENDAMAI" Krisis Najib vs Tun Dr M

Air dicincang tak akan putus...!

Sejak kita dibangku sekolah lagi, kita akan melalui mata pelajaran Bahasa Malaysia yang terkandung didalamnya untuk mempelajari Peribahasa.

Maksud peribahasa diatas amat mudah untuk kita fahami, malah kita sendiri sudah pasti ada pengalaman dengan apa yang dimaksudkan serta terjemahannya. Perbalahan, persengketaan sesama sendiri perlulah ada noktah kesudahannya...

Hari ini jelas kita menyaksikan memang terbit apa yang dimaksudkan dengan persengketaan antara dua tokoh pemimpin tanahair. Tidak ada ruang untuk disembunyikan hakikat bahawa Tun Dr Mahathir kini berkrisis dengan YAB Datuk Sr Najib. Seantero Malaya tahu dan dunia juga sedang melihat...

Siapa berani menyangkal dakwaan sekiranya berlaku krisis kepimpinan dalam UMNO maka akan berlaku juga perpecahan. Cuma yang merisaukan kita ialah melihat samada perpecahan itu akan menjadi teruk dan membinasakan ataupun perpecahan yang tidak membahayakan, masih ada ruang untuk diselamatkan....

Kalau diberikan pilihan sudah pasti semua ahli UMNO yang sayangkan parti keramat ini akan memilih untuk Tun Dr M berdamai dengan Najib. Itu lebih baik..., itu lebih afdal !

Sekiranya ayah dan ibu kita berselisih pendapat, bersengketa apakah kita cepat cepat ambil posisi dan membuat keputusan untuk menyokong pihak yang mana...? Semestinya kita mahukan mereka berbaik semula demi kebahagian keluarga yang amat kita sayangi.

Barangkali mungkin kita tidak berupaya menjadi orang tengah untuk mendamaikan kedua dua ibu dan bapa kita... maka kita pun akan berusaha untuk mencari seseorang yang boleh menjalankan tugas berat ini.

Malang sekali dalam kisah krisis Najib vs Tun Dr M sangat sedih kita melihat ujudnya juak juak yang mengambil kesempatan untuk mengeruhkan lagi kekusutan yang berlaku ! Mereka iaitu ahli ahli UMNO sendiri yang isytihar menyokong Tun Dr M bukan main galak dan sangat berahi melanyak dan membalun Najib...

Kalau dibuat penilaian prestasi politik juak juak yang menyokong Tun Dr M ini sangat lemah dan lembik ketika mendepani pihak Pakatan Pembangkang ! Tak pandai pun untuk membuat posting dilaman sosial menghentam Pembangkang... Tak berani pun membuat kenyataan dilaman sosial menyerang Pembangkang.

TETAPI apabila masuk bab krisis kepimpinan UMNO, juak juak ini seperti seorang lelaki yang baru sahaja menelan pil Viagra dan memuncak syahwatnya untuk menjadi Perogol Bersiri....

Najib bukanlah insan ciptaaan Allah swt yang sempurna, begitulah juga Tun Dr M. Kedua dua mereka tetap ada kelemahan dan kekurangan masing masing....

Tun Dr M juga melalui liku liku perit sewaktu tempoh beliau mentadbir negara. Masih segar dalam ingatan kita tahun 1987 berlaku kekecohan dalam pemilihan UMNO ketika itu apabila jawatan Presiden Tun Dr M telah dicabar oleh Tengku Razaliegh Hamzah. Tun Dr M menang tipis..., malah Team A pro Tun Dr M hanya memenangi 19 daripada 25 jawatan Majlis Tertinggi UMNO.

Krisis kepimpinan UMNO 1987 berakhir dengan tragedi UMNO diharamkan... Team B memfailkan kes Mahkamah bahawa 78 orang perwakilan telah mewakili cawangan cawangan yang tidak berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan dimana status mereka tak layak mengundi. Terdapat juga bukti sekurang-kurangnya 30 cawangan yang tak berdaftar menghantar wakil wakil mereka ke pemilihan UMNO.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu Harun Hashim mengisytiharkan bahawa UMNO adalah sebuah pertubuhan yang tidak sah.

Tun Dr M menjadi Perdana Menteri dan Presiden UMNO pada tahun 1981. Krisis terbesar kepimpinan UMNO itu berlaku tahun 1987. Enam tahun usia kepimpinan beliau ketika itu....

Tahun 2015 ini juga merupakan tahun yang ke 6 tempoh kepimpinan Najib Tun Razak. Mungkin ianya secara kebetulan sahaja...

Sewaktu era pemerintahan Tun Dr M ada juga berlaku pelbagai isu isu skandal hangat yang menelan wang ringgit yang besar nilainya seperti isu PERNAS, Renong, UMBC, Bakun, Perwaja, jet Skyhwak, Spanco dan beberapa lagi. Tetapi untung nasib Tun Dr M ketika itu TAK ADA media sosial seperti zaman pemerintahan Najib... Maka rakyat dan ahli ahli UMNO tak berpeluang mendapat pelbagai maklumat seperti hari ini!

Ada dikalangan juak juak pro Tun Dr M beria-ia sakan taksub dengan mempercayai bahawa jika Najib masih menjadi Presiden UMNO dan PM bermakna BN akan tewas pada PRU ke 14. Sedihnya apabila melihat kalangan pimpinan dan ahli UMNO yang terlebih yakin melebihi juak juak Pembangkang dalam hal ini...

Sekiranya benarlah juak juak ini sayangkan UMNO, sepatutnya mereka tidak payah menjadi batu api dan menambah hangatkan lagi keadaan yang sedang berlaku. Sepatutnya juak juak ini memainkan peranan untuk mencari titik persamaan dan penyelesaian krisis Najib vs Tun Dr M.

Sejarah membuktikan bahawa individu yang bernama Mahathir Bin Mohamed dua kali menyertai semula UMNO melalui keluarga Tun Abd Razak.... Setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1969, Tun Dr M menyertai semula UMNO pada 7hb Mac 1972 dimana beliau menyerahkan borangnya kepada Tun Abd Razak.

Pada 19 Mei 2008, Tun Dr M umum keluar UMNO setelah kecewa dengan pemerintahan dan kepimpinan Tun Abdullah Badawi. Namun pada tanggal 4 April 2009 Tun Dr M sekali lagi menyertai UMNO dan menyerahkan borangnya kepada anak Tun Abd Razak, iaitu Najib Razak.

Ketika ditanya beliau pernah masuk semula UMNO di zaman PM kedua Tun Razak Hussein dan menyertai semula UMNO di zaman Najib, anak Tun Razak, Tun Dr M secara bergurau berkata: "Itu pakatan kekeluargaan yang tidak disengajakan".

Sementara itu ketika ditanya sama ada beliau akan tetap lantang mengkritik pentadbiran Najib sepertimana yang dilakukannya semasa pentadbiran Tun Abdullah Ahmad Badawi, Tun Dr berkata:

"Saya akan mengkritik setiap kali UMNO melakukan kesilapan dan saya yakin beliau mampu membawa UMNO ke tahap yang lebih baik seperti zaman ayahandanya Allahyarham Tun Abdul Razak..."

Sebenarnya Najib adalah pilihan Tun Dr M untuk memimpin negara kita.....

Walaupun mutakhir ini Tun Dr M semakin ganas menyerang Najib sehingga masuk ke isu isu peribadi, namun jika diberikan secukupt ruang dan diberikan juga usaha sebaik mungkin tidak mustahil segala kekusutan dan kemelut ini boleh menemui jalan penyelesaian.

Juak juak pro Tun Dr M hentikanlah kerja kerja menjadi batu api... Sudah sudahlah ! Berilah tumpuan dan fokus kepada kerja kerja mendepani Pembangkang. Itu lebih berfaedah dan menguntungkan kita semua.

Janganlah nak memandai-mandai buat kerja pelik seperti tikus membaiki labu kelak nanti keadaan menjadi lebih buruk dan kita semua yang akan menerima padahnya ! Lihatlah dengan hati yang terbuka dan dibulan Sya'aban yang mulia ini ayuh kita terus memanjatkan doa kehadrat Allah swt agar hubungan siratulrahim Najib dan Tun Dr M ibarat ayah dan anak itu kembali pulih dan bertambah baik...

Kita janganlah seronok membuang masa untuk bertelagah sesama sendiri sedangkan dalam Pakatan Pembangkang mereka juga sedang bergolak dan berkecamuk. Kalau nak main bola mainlah dikawasan lawan janganlah main dalam kawasan sendiri, takut nanti masuk gol sendiri.

PAS akan menjalankan proses pemilihan parti mereka tak lama lagi, Ketika ini, mereka juga sedang mendepani krisis kepimpinan parti. Jawatan Presiden milik Hadi Awang kini dicabar oleh Ustaz Ahmad Awang.

Kepimpinan PAS memang jelas terbukti berpecah dua daintara team pro Ulama melawan team barua DAP. Tetapi dikalangan ahli ahli dan pimpinan UMNO pro Tun Dr M mereka lebih galak dan bernafsu menyerang Najib dilaman sosial.... Langsung tak ambil kesempatan untuk menyerang Pembangkang!

Nampak...? 

Kenapa juak juak ahli dan pimpinan UMNO yang pro Tun Dr M susah untuk kenal pasti yang mana satu lawan yang mana satu kawan...? Musuh politik bukan dalam UMNO.....

Krisis Najib vs Tun Dr M bukanlah tugas dan tanggungjawab wajib untuk mana mana ahli atau kepimpinan UMNO turut serta dan menambahkan beban parti. Sekiranya kita bersatu hati mahu selamatkan masa depan parti, berdepanlah dengan pihak musuh diluar parti. Jangan tembak kaki sendiri....

Semoga dibulan yang mulia ini akan lahirlah kesedaran dikalangan pimpinan tertinggi parti UMNO untuk memikirkan kaedah yang tebaik agar krisis Najib vs Tun Dr M tidak lagi berterusan. AMIN... 

4 comments:

Anonymous said...

Sepatutnya perkara ini tidak berlaku jika PM menjawab secara tepat persoalan yang ditimbulkan.

Jika dilihat dari sudut positif Tun M telah membuka gelanggang untuk PM menutup mulut pembangkang dan pengkritik. Tetapi malangnya PM telah gagal menggunakannya dengan sebaik baiknya malahan mengusutkan keadaan dengan jawapan kabur dan berbelit. Keadaan menjadi lebih parah apabila jemuan yang beliau sendiri katakan bangang mula nk menjadi hero.

Anonymous said...

Amiiin

Anonymous said...

Setuju dgn anon 2 june. Tun dah lambung tapi najib gagal nak balun. Nak balun dgn bahasa teknokrat. Guna bahasa kampung jaa laa. Bg penjelasan dari perspektif rakyat. Apa yg rakyat dpt dan untung dari gst. 1mdb sama mcm zaman tun buat renong bli tanah dgn harga murah jual harga mahal. Adoiiaii...tu pon x tauu...geram aku...

Anonymous said...

Betul. Ramai yang mula meluat tengok kedegilan Najib. Cara Najib menjawab soalan amat memalukan, dia menonjolkan dirinya sememangnya tak layak menjadi PM. Dia tidak menjawab soalan yang dibangkitkan, hanya alasan demi alasan diberikan. Isu 1MDB amat mudah, tapi dia sendiri lebih kepada berdolak dalih cuba menipu rakyat. Inikah balasan kepada pengundi BN yang rata-rata merasakan mereka telah ditipu. Kehidupan rakyat makin hari makin susah. Mahu tidak mahu, kita terpaksa mengakui kita sedang mengalami krisis ekonomi apabila nilai matawang kita jatuh merudum. Kos sara hidup makin meningkat. Harga kelapa sawit dan getah sudah jatuh teruk. Apa yang PM lakukan, dia terpaksa melakukan langkah walaupun tidak popular. Segala macam subsidi yang dinikmati rakyat ditarik satu persatu. Memperkenalkan GST yang walaupun dia tahu amat membebankan rakyat, tapi dia tetap meneruskan juga. Rakyat masih bersabar, tapi bila isu 1MDB terkeluar, rata-rata rakyat sudah hilang sabar. Bagaimana hutang yang dibuat atas jaminan negara telah dibelanjakan sewenang-wenangnya. Tanah kerajaan yang bernilai billion ringgit, dijual kepada 1MDB dengan harga tidak munasabah. Malah, untuk menutup segala kepincangan dalam 1MDB, sanggup pula dijual kepada pihak ketiga demi keuntungan. Apakah kerajaan boleh menjual tanah dengan sewenang-wenangnya?? Fikirlah sendiri, apakah kita ingin melihat PM begini menerajui negara lagi. Mungkin sudah tiba masanya kita memilih orang lain yang lebih berkaliber untuk menjadi PM pula.