Saturday, August 8, 2015

Then Siaw Lian Finalis Bukan Melayu PABM Bukti Konsep 1Malaysia Najib Cipta Kejayaan Negara

Kehebatan dan fasihnya berbahasa melayu itulah dia salah seorang wakil negara dalam pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu (PABM) Piala Perdana Menteri 2015, penuntut Universiti Malaya (UM), Janise Then Siaw Lian, 23.

Beliau bersama mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Mohd Akmal Aizat Umar, 23, berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir selepas muncul antara tiga peserta terbaik dalam kategori Alam Melayu pada peringkat separuh akhir hari ini.

Lebih manis, Siaw Lian yang berasal dari Kota Samarahan, Sarawak mencatat sejarah tersendiri apabila muncul sebagai peserta bukan Me­layu pertama mewakili negara yang layak ke peringkat akhir pertandi­ngan pidato berprestij itu.

Pada peringkat separuh akhir, Siaw Lian menyampaikan pidato bertajuk Makna Sebuah Perpaduan manakala Mohd. Akmal Izzat memilih tajuk Sengsara Dunia: Di Mana Silapnya?
Dua wakil negara itu bakal dibe­rikan saingan hebat oleh wakil Thailand, Awabeen Samsuding yang tu­rut melepasi halangan di peringkat separuh akhir menerusi pidato bertajuk Bersatu Kita Teguh, Bercerai Kita Roboh.

Kategori Antarabangsa pula me­nyaksikan pertandingan tiga penjuru antara wakil Australia, Emma Cecilia Roberts; wakil Amerika Syarikat (AS), Wyatt Evan Gordon dan pemidato United Kingdom, Joshua Parfitt.

Kategori Pelajar Antarabangsa di Malaysia (PAM) pula bakal menampilkan persaingan antara Mah­moud Abdel Fattah Ibrahim Essa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), pemidato Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Maher G.M Abdolrasol dan wakil Universiti Putra Malaysia (UPM), Waleed Basil Mohammed Ali. 

PABM 2015 yang berlangsung selama lima hari bermula kelmarin disertai 71 peserta dari serata dunia dalam tiga kategori iaitu Alam Me­layu, Antarabangsa dan PAM. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka menghadiri pertandingan akhir PABM 2015 yang akan berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Sabtu ini.

Sent from my BlackBerry Z30 smartphone.

No comments: